Warga emas hilang selepas keluar rumah naik motosikal roda tiga

Seorang lelaki warga emas yang dikhuatiri hilang sejak keluar dari rumahnya kira-kira 8 pagi Sabtu, masih belum dijumpai.
Seorang lelaki warga emas yang dikhuatiri hilang sejak keluar dari rumahnya kira-kira 8 pagi Sabtu, masih belum dijumpai.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Seorang lelaki warga emas yang dikhuatiri hilang sejak keluar dari rumahnya kira-kira 8 pagi Sabtu, masih belum dijumpai.

Muhammad Ngah, 67, dari Kampung Baru Serada, di sini yang bekerja sebagai penjual ikan dan sayur-sayuran keluar dari rumahnya pagi Sabtu dengan menaiki motosikal beroda tiga jenis EX5 berwarna merah bernombor pendaftaran TAV 9836 tanpa membawa beg duit, telefon bimbit mahupun memakai helmet.

Adiknya, Mohd Azis berkata, isteri dan tiga anak abangnya itu tidak mengesyaki apa-apa kerana menganggap Muhammad atau lebih dikenali Pak Din oleh penduduk kampung hanya keluar bersiar-siar.

"Abang hanya pakai t-shirt biru dan kain pelikat. Masa itu, mereka fikir mungkin dia hanya mahu ke rumah adik-beradiknya atau ke kebun yang juga berada di kampung ini,” katanya ketika dihubungi Bernama pada Ahad.

Mohd Azis berkata, setelah beberapa jam abangnya tidak pulang, mereka segera membuat laporan di Balai Polis Cabang Tiga meskipun mengetahui prosedur membuat laporan orang hilang perlu selepas tempoh 24 jam.

"Kami risau sebab abang dah tua dan ada sejarah penyakit jantung. Minggu lepas juga dia demam dan tidak ke mana-mana. Kami juga risau takut dia terlupa jalan balik ke rumah.

"Memang abang belum disahkan ada Alzheimer, tapi risaulah sebab dengan umurnya dan keadaan kesihatannya, dia mungkin baru nak develop penyakit itu,” katanya.

Mohd Azis berkata, mereka turut menghebahkan perkara itu di media sosial dan sehingga malam tadi telah menerima dua panggilan daripada orang awam memaklumkan ada melihat abangnya sedang berjalan kaki di tepi jalan di Bukit Payong dan di sekitar Marang.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, selepas membuat pemeriksaan, mereka tidak menemui apa-apa bahkan lebih menghairankan motosikal abangnya itu juga tidak ditemukan

"Pelik juga sebab kalau kata masuk semak ke apa mesti akan kelihatan sebab motosikal roda tiga itu besar. Tapi, kalau menurut cerita pemanggil itu saya percaya itu abang sebab katanya lelaki itu pakai t-shirt biru dan berkain pelikat seperti abang. Dan dia mungkin jalan kaki sebab motosikalnya kehabisan minyak.

"Kami juga ada minta bantuan anak-anak muda dan geng motosikal untuk pusing cari abang termasuk di surau dan masjid sekitar. Kami pun ada buat semakan di hospital tapi belum ada apa-apa,” katanya.

Mohd Azis berkata polis juga telah memanjangkan kehilangan abangnya itu kepada bilik gerakan termasuk Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) bagi memperhebatkan kerja pencarian dan meminta orang ramai yang mungkin terlihat atau menjumpai abangnya itu menghubunginya di talian 019-4004743 atau Mohd Ruzli 019-9067974. - Bernama

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28