Kedah sedia pelan kontingensi atasi gangguan bekalan air musim raya

SADA menyediakan 123 lori penghantaran air kepada pengguna terjejas sepanjang musim perayaan.
SADA menyediakan 123 lori penghantaran air kepada pengguna terjejas sepanjang musim perayaan.
A
A
A

ALOR SETAR - Kerajaan negeri menyediakan pelan kontingensi sepanjang musim perayaan bagi mengatasi gangguan bekalan air di seluruh negeri ini.

Exco Kerja Raya, Bekalan Air dan Sumber Air dan Alam Sekitar Kedah, Mohamad Yusoff@ Munir Zakaria berkata, bagi memastikan bekalan air tidak terjejas, Syarikat Air Darul Aman Sdn Bhd (SADA) menyediakan 123 lori penghantaran air kepada pengguna terjejas sepanjang musim perayaan.

Menurutnya, menerusi pelan kesiapsiagaan tersebut, ia membabitkan 84 lori kontrak, 32 lori tangki SADA serta sembilan lori merupakan tangki jumbo.

“Pelan kontingensi ini sudah bermula pada Isnin lalu hingga 14 April. Ia berikutan jangkaan akan berlakunya peningkatan permintaan air melebihi 30 peratus oleh pengguna di seluruh negeri ini sepanjang Aidilfitri.

“Pertambahan penggunaan domestik ini turut didorong oleh kepulangan warga kota dan perantau ke kampung halaman,” katanya ketika dihubungi di sini pada Khamis.

Mohamad Yusoff berkata, operasi bekalan air SADA juga terkesan apabila Kedah kini mengalami cuaca kemarau ekstrim akibat fenomena El Nino sejak beberapa bulan lalu.

“Bekalan air berkurangan, penggunaan air pula bertambah apabila anak perantau pulang ke kampung menyebabkan permintaan air meningkat.

“Penggunaan yang banyak menyebabkan paras air di tangki simpanan utama menurun. Tekanan air secara graviti turut menurun menyebabkan kawasan tinggi dan di hujung sistem paip kurang atau tidak mendapat bekalan,” jelasnya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya lagi, SADA turut mewujudkan pusat khidmat setempat (PKS) di lima lokasi yang berisiko tinggi mengalami gangguan bekalan air.

“Sebuah lori statik akan ditempatkan di setiap lokasi PKS bagi menyelesaikan aduan penduduk dengan kadar segera.

“Tiga PKS diwujudkan di wilayah Kedah tengah, iaitu Masjid Seri Jerai, Gurun; Lot Kedai LKIM, Tanjung Dawai dan Masjid At-Tahir di Kampung Sungai Gelam.

”Lokasi lain termasuk di Masjid Alor Ibus dan Masjid Kampung Pulau Tengah dalam Kawasan wilayah Kedah utara 1,” ujarnya.

Mohamad Yusoff memaklumkan, pengguna boleh menyalurkan aduan secara terus ke kaunter PKS tanpa perlu menghubungi talian hotline yang dijangka mengalami kesesakan pada musim perayaan.

“Khidmat lori tangki pula beroperasi mengikut zon, iaitu 17 buah lori beroperasi di kawasan Kedah Utara 1, kawasan Kedah Utara 2 (28 buah lori), Kedah Tengah (42), Kedah Timur (16), Kedah Selatan dan Langkawi masing-masing sebanyak 15 lori tangki,” katanya lagi.

“Pengguna dinasihatkan agar turut membuat persediaan awal dengan menyimpan bekalan air sekurang-kurangnya untuk tempoh dua hari bagi kawasan sering alami gangguan, selain menggunakannya secara berhemah bagi mengurangkan risiko terputus bekalan air," katanya.

Menurutnya, SADA sentiasa berusaha sedaya upaya menyediakan termasuk menghantar bekalan air bersih kepada pengguna sehingga lewat malam atau awal pagi sekiranya memerlukan bantuan.