Perkampungan Riadah dan Budaya Qing Xing Ling ditutup sementara

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simpang Pulai Wong Chai Yi menunjukkan tempat kejadian seorang warga tempatan berusia 44 tahun, maut akibat ditimpa batu di kawasan perkampungan itu dalam kejadian yang berlaku sekitar 11.30 pagi semalam. Foto Bernama
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simpang Pulai Wong Chai Yi menunjukkan tempat kejadian seorang warga tempatan berusia 44 tahun, maut akibat ditimpa batu di kawasan perkampungan itu dalam kejadian yang berlaku sekitar 11.30 pagi semalam. Foto Bernama
A
A
A

GOPENG - Perkampungan Riadah dan Budaya Qing Xin Ling ditutup sementara, sehingga laporan penuh berhubung kejadian maut yang menimpa seorang pelancong warga tempatan di kawasan tersebut, disiapkan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simpang Pulai, Wong Chai Yi berkata perkara itu, penting bagi memastikan kejadian tersebut tidak berulang kembali, khususnya kepada para pelancong.

Chai Yi berkata, beliau dimaklumkan bahawa laporan mitigasi sedang dilakukan oleh pihak perunding profesional yang dilantik demi memastikan tahap keselamatan di kawasan itu diperketatkan.

"Laporan tersebut juga mungkin mengambil sedikit masa dan langkah terbaik ialah menutup kawasan ini buat sementara waktu, bagi mencegah perkara sama daripada berlaku,” katanya ketika ditemui di Perkampungan Riadah dan Budaya Qing Xin Ling di sini pada Selasa.

Semalam, Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad dalam kenyataan mengesahkan seorang warga tempatan berusia 44 tahun, maut akibat ditimpa batu di kawasan perkampungan itu dalam kejadian yang berlaku sekitar jam 11.30 pagi.

Chai Yi berkata, hasil siasatan awal di tempat kejadian mendapati mangsa yang berasal dari Pulau Pangkor itu sedang membawa rakannya warga Vietnam ke tempat pelancongan tersebut.

Beliau berkata, pihaknya turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa, selain berharap mereka tabah dalam menghadapi dugaan yang berlaku.

Sementara itu, pengusaha kawasan rekreasi tersebut, Cheng Swee Kiat berkata, pihaknya bersedia membantu ahli keluarga mangsa mendapatkan pampasan melalui Insurans Tanggungan Awam.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, kejadian itu yang pertama kalinya berlaku di kawasan pelancongan tersebut, sejak lebih dua tahun dibuka dengan kerjasama Majlis Bandaraya Ipoh (MBI).

"Saya mohon maaf di atas perkara tidak diingini yang berlaku dan kita berjanji akan bantu (pampasan) keluarga mangsa melalui perlindungan insurans yang disediakan oleh pihak kami,” katanya. - Bernama

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28