Semarakkan budaya mengaku silap, mohon maaf - Lam Thye

Lee Lam Thye
Lee Lam Thye
A
A
A

SHAH ALAM - Budaya mengaku silap, minta maaf dan memaafkan perlu dijadikan amalan oleh semua kaum di negara ini bagi memudahkan interaksi serta mengekalkan harmoni dalam mewujudkan nilai silang integrasi.

Ahli Majlis Penasihat Perpaduan Negara, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, konsep meminta maaf tidak menjadikan seseorang itu lebih kecil atau hina, sebaliknya tindakan yang mulia untuk memberi kesedaran dalam memperbetulkan kesilapan.

"Memberi maaf pula bukan bermaksud kita melupakan sengketa, sebaliknya menunjukkan hati terbuka menerima kekhilafan orang lain yang boleh ditangani tanpa bermasam muka.

"Seperti kita mengakui kesilapan di hari raya dan memohon maaf menjelang Aidilfitri, gerakan #MZB365 (Maaf Zahir Batin Hari-hari) mengajak masyarakat membudayakan sikap meminta maaf sepanjang hari, setiap tahun dalam menghadapi pelbagai isu yang boleh mewujudkan sengketa, khususnya isu melibatkan perkauman serta perbezaan pendapat," katanya menerusi kenyataan pada Isnin.

No Image Caption

#MZB365 merupakan gerakan bersama lima media tempatan yang dipelopori gabungan badan bukan kerajaan (NGO) dan Pertubuhan Masyarakat Sivil (CSO).

Gerakan tersebut bertujuan melawan ungkapan kebencian etnik-agama, menggalakkan amalan memohon dan memberi maaf setiap hari dengan menekankan kepentingan amalan itu merentasi pelbagai kepercayaan serta latar belakang budaya.

No Image Caption

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu Lam Thye turut berpandangan, kempen #MZB356 amat diperlukan ekoran banyak usaha tidak bertanggungjawab menyuntik api kemarahan apabila berlaku peristiwa melibatkan kaum dan agama.

"Kes-kes sensitif seperti ini perlu ditangani dengan pendekatan lebih rahmah bagi memastikan ia tidak diguna sebagai umpan politik yang akan melibatkan perpecahan kaum lebih teruk," tegasnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!