Logo kasut mirip kalimah ALLAH: Enam kedai kasut jenama Vern's di Kelantan diperiksa

Laporan Sinar Harian pada Ahad.
Laporan Sinar Harian pada Ahad.
A
A
A

KOTA BHARU - Polis Kelantan memeriksa enam kedai kasut jenama Vern's di negeri ini berhubung tulisan menyerupai kalimah ALLAH pada tapak kasut wanita.

Ketua Polis negeri, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, ia melibatkan dua kedai di Kota Bharu dan masing-masing satu kedai di Kuala Krai, Kubang Kerian, Tanah Merah, dan Gua Musang.

"Pihak kami mengambil langkah proaktif bagi memastikan kasut jenama Vern's yang mempunyai logo didakwa mirip kalimah ALLAH tidak terdapat di negeri ini.

"Bagaimanapun, pihak kami masih belum menerima laporan dan sedang menunggu hasil pemeriksaan yang dilakukan di kesemua kedai berkenaan," katanya semasa sidang akhbar pada Isnin.

Sebelum itu, beliau merasmikan Program Keselamatan Jalan Raya Ops Selamat 22/2024 Sempena Aidilfitri di hadapan Balai Polis Binjai, di sini.

Media tempatan sebelum ini melaporkan, polis membuka satu kertas siasatan berkaitan dakwaan jenama kasut memaparkan logo mirip kalimah ALLAH pada tapaknya yang tular di media sosial.

Susulan itu, pengurusan Vern's Holding Sdn Bhd memohon maaf berhubung logo kasut tumit tinggi keluarannya yang pada pandangan mereka disalah tafsir hingga menyinggung perasaan umat Islam di negara ini.

Dalam perkembangan lain, Muhamad Zaki berkata, pihaknya sudah mengenalpasti identiti penulis berkait dakwaan berlaku kes pedofilia melibatkan seorang guru Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Tumpat baru-baru ini.

Artikel Berkaitan:

Beliau bagaimanapun berkata, wanita terbabit enggan membuat laporan berhubung kes tersebut.

"Walaupun tiada laporan rasmi dibuat, polis akan tetap siasat. Selain itu, siasatan kita turut menjurus kepada siapa yang dia (penulis) maksudkan itu.

"Dia (penulis) dapat tahu benda (kejadian) itu berlanjutan...dengan siapa, kita akan semak latar belakang. Kenapa dia berkata begitu, adakah dia bermasalah di sekolah," ujar beliau.

Tambahnya, polis sudah memanggil ramai saksi untuk dirakam percakapan bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.

"Kita nak tengok apa yang sebenarnya berlaku. Bila jadi begini ia akan jejaskan karier seseorang guru.

"Jadi jangan buat sebarang spekulasi," katanya.

Sinar Harian pada 1 April melaporkan Muhamad Zaki memberi jaminan siasatan berhubung kes pedofilia melibatkan seorang guru MRSM Tumpat selesai dalam tempoh sebulan.

Beliau berkata, seramai empat saksi telah dipanggil ketika ini bagi membantu siasatan berhubung kes berkenaan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!