Logo kasut mirip kalimah ALLAH: SKMM beri amaran jangan sebar kandungan 3R

PDRM sudah membuka satu kertas siasatan berkaitan dakwaan jenama kasut memaparkan logo mirip kalimah ALLAH pada tapaknya yang tular di media sosial, pada Ahad.
PDRM sudah membuka satu kertas siasatan berkaitan dakwaan jenama kasut memaparkan logo mirip kalimah ALLAH pada tapaknya yang tular di media sosial, pada Ahad.
A
A
A

CYBERJAYA - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengingatkan orang ramai agar tidak memuat naik, berkongsi atau menyebarkan kandungan media sosial yang menyentuh sensitiviti 3R (agama, kaum, raja).

SKMM dalam kenyataan pada Isnin, menggesa mana-mana pihak yang mempunyai sebarang maklumat dalam media sosial melibatkan logo kasut yang didakwa mirip kalimah ALLAH, untuk melaporkannya kepada pihak berkuasa termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) atau kepada suruhanjaya itu melalui pautan https://aduan.mcmc.gov.my, untuk tindakan selanjutnya.

SKMM tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 sekiranya ada pihak cuba mengambil kesempatan terhadap isu terbabit dan membuat hantaran atau meninggalkan komen melampaui batas yang boleh mencetuskan ketegangan antara kaum.

"Semua pihak perlu memberikan ruang kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan pihak berkuasa untuk melakukan siasatan berhubung dakwaan ini," menurut kenyataan itu.

Terdahulu, tular foto yang memaparkan logo kasut keluaran syarikat tempatan yang didakwa seakan-akan kalimah ALLAH dan ia mengundang pelbagai reaksi warga siber.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar dalam kenyataan semalam memaklumkan JAKIM diarah memanggil pihak berkaitan untuk mendapatkan penjelasan lanjut, hari ini. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Artikel Berkaitan: