Aidilfitri: Baju Melayu semakin popular di Selatan Thailand

Pereka tempatan dan pencinta busana Melayu di Narathiwat, Muhammad Sabri Jehloh, 48, menunjukkan baju Melayu hasil rekaannya dengan jenama Bustani yang dipasarkan di selatan Thailand sempena Aidilfitri mendapat sambutan ramai generasi muda.Foto Bernama
Pereka tempatan dan pencinta busana Melayu di Narathiwat, Muhammad Sabri Jehloh, 48, menunjukkan baju Melayu hasil rekaannya dengan jenama Bustani yang dipasarkan di selatan Thailand sempena Aidilfitri mendapat sambutan ramai generasi muda.Foto Bernama
A
A
A

PATTANI - Dalam kesibukan menyediakan kelengkapan menjelang hari lebaran, masyarakat Islam di selatan Thailand khususnya golongan muda tetap tidak lupa dengan pilihan fesyen pakaian tradisional.

Selain jubah dan kurta, baju Melayu pelbagai warna kini semakin mendapat sambutan di sini, termasuk yang dihasilkan pereka tempatan.

Melihat trend ini, seorang pereka tempatan dan pencinta busana Melayu di Narathiwat, Muhammad Sabri Jehloh, 48, mendapat ilham untuk menghasilkan jenama sendiri iaitu Bustani untuk memenuhi permintaan anak muda tempatan sempena sambutan Aidilfitri ini.

"Bustani dari Pattani untuk Pattani. Ia adalah kebanggaan orang Pattani dan merupakan satu jenama eksklusif dan setanding dengan jenama-jenama lain di pasaran,” kata Muhammad Sabri kepada Bernama baru-baru ini.

Beliau berkata, bustani dalam bahasa Arab bermaksud 'kebun' dan dalam konotasi rekaan baju Melayunya, membawa maksud sebuah tempat berteduh dan berhimpun untuk masyarakat Pattani.

"Inspirasi pertama untuk kita buat baju Melayu sendiri ialah kita tengok tiap-tiap tahun di Pattani pada raya ketiga, terdapatnya perhimpunan yang dihadiri antara 10,000 hingga 15,000 pemuda-pemudi yang menggayakan baju Melayu.

Jadi saya tengok di situ kenapakah kita tidak mengambil peluang untuk mendapatkan hasil dari situ,” katanya.

Sabri berkata, 10 peratus daripada untung jualan akan disumbangkan kepada Tabung Palestin dan 20 peratus lagi akan digunakan untuk mewujudkan bengkel kemahiran jahitan khas untuk ibu tunggal di kawasan ini.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, seorang peniaga pakaian tradisional Melayu dan tanjak di sini, Ku Abdullah bin Ku Rambli, 32, berkata, beliau kini sedang mendalami pengetahuan mengenai busana Melayu dari Malaysia.

"Kita orang Melayu kena jaga asas Melayu termasuk pakaian tradisional masyarakat Melayu. Terdapat minat yang amat meluas terhadap tanjak dalam dua tahun kebelakangan ini sehingga pembuat tanjak tidak sempat siapkan tempahan,” katanya. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!