Orang Melayu pakailah baju Melayu semasa raya, bukan pakai kurta

Sebagai bangsa Melayu, lebih baik jika kita mengenakan pakaian tradisional bangsa kita sendiri iaitu baju Melayu pada Aidilfitri terutamanya pada hari raya pertama. Gambar hiasan 123rf
Sebagai bangsa Melayu, lebih baik jika kita mengenakan pakaian tradisional bangsa kita sendiri iaitu baju Melayu pada Aidilfitri terutamanya pada hari raya pertama. Gambar hiasan 123rf
A
A
A

SEJAK beberapa tahun kebelakangan ini, baju kurta dilihat menjadi satu trend untuk dipakai oleh kaum lelaki Melayu di negara ini pada sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Baju kurta bukan sahaja semakin banyak dijual di pasar raya atau bazar Aidilfitri, malah rekaan kurta juga dilihat lebih moden dan bergaya berbanding beberapa tahun lepas.

Harga baju kurta yang dijual juga boleh dikatakan lebih murah jika dibandingkan dengan baju Melayu sepasang.

Namun bagi Merak Jalanan, sebagai bangsa Melayu, lebih baik jika kita mengenakan pakaian tradisional bangsa kita sendiri iaitu baju Melayu pada Aidilfitri terutamanya pada hari raya pertama.

Kurta sebenarnya ialah pakaian tradisional bagi kaum lelaki India dan Pakistan di majlis rasmi atau perayaan. Malah perkataan kurta diambil daripada bahasa Urdu yang merujuk kepada baju tanpa kolar.

Merak Jalanan lihat baju kurta sering dipadankan dengan seluar khakis, slack atau jean tanpa songkok. Ada yang memakai sebegini ketika menunaikan solat sunat Aidilfitri di masjid atau ketika menziarahi ahli keluarga di pagi raya.

Merak Jalanan kurang pasti kenapa baju kurta menjadi pilihan untuk dipakai, adakah kerana harganya yang lebih murah berbanding baju Melayu atau lebih selesa dipakai kerana kurang panas.

Biar apa pun alasan, mengapa kita perlu memakai pakaian tradisional bangsa lain di pagi hari raya dan bukannya pakaian tradisional bangsa kita sendiri. Jika kita sendiri tak pakai, siapa lagi nak pakai.

Artikel Berkaitan:

Jika golongan muda di negara ini tidak dibiasakan dengan pakaian tradisional iaitu baju Melayu yang lengkap bersamping dan bersongkok, mungkin suatu hari nanti baju itu cuma tinggal sejarah yang dipelajari di sekolah.

Lagi satu, Merak Jalanan berpesan, kalau pakai baju Melayu ketika menunaikan solat solat hari raya, biarlah dengan songkok dan bersamping.

Barulah lengkap dan segak!