Logo kasut mirip kalimah ALLAH: Jakim panggil pihak berkaitan esok

Mohd Na'im. Foto Bernama
Mohd Na'im. Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) mengambil tindakan segera berhubung aduan logo kasut yang didakwa mirip kalimah ALLAH.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak sekiranya telah jelas membuat tindakan yang menghina agama Islam.

“Saya telah mengarahkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk memanggil pihak berkaitan pada esok hari, 8 April 2024 bagi mendapatkan penjelasan lanjut.

"Mana-mana pihak yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan boleh menyalurkan kepada pihak berkuasa termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM),” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Jelasnya, semua pihak adalah dipohon untuk bertenang dan memberikan ruang kepada Jakim.

Menerusi video yang tular, seorang lelaki mendakwa beliau terkejut dengan kasut yang dibelinya yang memaparkan logo dipercayai seakan kalimah ALLAH.

Pelayar Facebook, Mohd Haridz yang membeli sepasang kasut untuk isterinya di sebuah pusat membeli-belah di Kuantan mendedahkan terdapat seakan perkataan ALLAH pada tapak kasut itu.

Artikel Berkaitan:

Logo pada kasut yang didakwa seakan kalimah ALLAH.
Logo pada kasut yang didakwa seakan kalimah ALLAH.

Sementara itu Ketua Pemuda UMNO, Dr Akmal Salleh mendesak satu penjelasan yang segera dari pihak syarikat pengeluar kasut berkenaan berhubung isu itu.

"Kami orang Islam di Malaysia ini bukan jenis yang bertindak semberono tanpa usul periksa, kami bersangka baik terlebih dahulu dan kami mahukan penjelasan dari pihak kamu.

"Jika tiada penjelasan dari pihak kamu dalam tempoh 24 jam, maka jangan salahkan kami jika boikot terhadap produk kamu pula selepas ini," ujarnya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!