Ops Khas HRA 2024: 39,066 saman dikeluarkan dalam tempoh lima hari

Lokman (tiga kiri) semasa beramah mesra dengan pengguna perhidmatan awam semasa Ops Khas HRA 2024 di Terminal Bas Shahab Perdana, Alor Setar pada malam Sabtu.
Lokman (tiga kiri) semasa beramah mesra dengan pengguna perhidmatan awam semasa Ops Khas HRA 2024 di Terminal Bas Shahab Perdana, Alor Setar pada malam Sabtu.
A
A
A

ALOR SETAR - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengeluarkan 39,066 saman kepada pengguna atas pelbagai kesalahan kerana gagal mematuhi peraturan dan undang-undang keselamatan jalan raya dalam tempoh lima hari sempena operasi khas perayaan Hari Raya Aidilfitri (HRA) 2024.

Pengarah Kanan Penguat kuasa JPJ, Datuk Lokman Jamaan berkata, jumlah notis saman yang dikeluarkan tesebut adalah sebanyak 24 peratus daripada 163,558 kenderaan yang diperiksa bermula 1 hingga 5 April lalu.

Menurutnya, daripada jumlah tersebut sebanyak 1,219 motosikal dan 177 kereta disita manakala kesalahan paling tinggi yang dicatatkan adalah tiada lesen memandu kompeten (CDL) iaitu dengan jumah 10,405.

“Kesalahan tinggi seterusnya adalah Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh dengan jumlah 7,339, teknikal (6,821), tiada insurans (6,094), tiada lesen vokasional (1,233), kesalahan utama (1,730) dan lain-lain kesalahan (5,444).

“Ops Khas HRA 2024 diteruskan pelaksanaannya meliputi pemeriksaan ke atas pelbagai jenis kenderaan bagi memastikan pematuhan peraturan dan undang-undang keselamatan jalan raya,” katanya pada sidang akhbar pada malam Sabtu.

Beliau berkata demikian selepas meninjau Ops Khas HRA 2024 di Terminal Bas Shahab Perdana, di sini.

Lokman berkata, dalam perkembangan sama, JPJ melalui kerjasama bersama pihak Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) turut mengesan lima kes melibatkan pemandu kenderaan perkhidmatan awam iaitu bas yang menggunakan bahan terlarang seperti methamphetamine.

Menurutnya, dua kes dikesan di Sarawak, dua di Kedah dan satu lagi di Kelantan membabitkan pemandu berumur 31 hingga 67 tahun.

Artikel Berkaitan:

“Justeru, bagi tindakan selanjutnya, JPJ akan memanggil syarikat pengendali bas berkenaan dan laporan siasatan lengkap akan dikemukakan kepada pihak Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) untuk tindakan di bawah Akta 715.

“JPJ juga akan menggantung lesen pemandu berkenaan di bawah Seksyen 36 Akta 333 setelah pengesahan lanjutan diperolehi daripada pihak AADK,” ujar beliau.

Tambah beliau, JPJ dalam usaha untuk meminimumkan kadar kemalangan dan kematian akibat nahas jalan raya pada Aidilfitri ini melalui operasi khas bermula 1 sehingga 20 April depan.

JPJ juga turut melaksanakan pemeriksaan di 54 depoh dan 28 terminal bas utama sepanjang tempoh itu bagi memastikan kelancaran dan kecekapan operasi perkhidmatan pengangkutan awam ke arah peningkatan keselamatan, kualiti dan kebolehharapan kepada pengguna.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!