Ops Khas Aidilfitri: 14,394 kemalangan dalam tempoh tujuh hari

Datuk Lokman Jamaan
Datuk Lokman Jamaan
A
A
A

KUALA LUMPUR – Sebanyak 14,394 kemalangan jalan raya dicatatkan seluruh negara menerusi Op Khas Hari Raya Aidilfitri (HRA) 2024 bermula 1 hingga 7 April lalu.

Pengarah Kanan Penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Lokman Jamaan berkata, kadar kematian pula direkodkan sebanyak 134 orang.

“Ini membimbangkan kerana secara purata, 19 kematian dicatatkan di mana pada 5 April merupakan bilangan tertinggi kemalangan maut direkod iaitu sebanyak 25 orang.

“Ia merupakan kematian yang sentiasa ditangisi kerana ini menunjukkan risiko sangat tinggi ketika berada di jalan raya,” katanya di sebuah program TV yang mengupas tajuk 'Hari Raya Aidilfitri- Pandu Cermat, Selamat Sampai ke Destinasi' pada pagi Selasa.

Lokman berkata, taburan kemalangan agak sekata, sama ada di lebuh raya, jalan Persekutuan dan negeri, kerana kesesakan berlaku di merata tempat.

Sepanjang tujuh hari Op HRA itu juga, beliau berkata, sebanyak 16,000 kesalahan melibatkan kelajuan antara 130 hingga 170km/jam diperoleh pihak berkuasa.

Menurutnya, sebanyak 80 kes pula, merupakan pesalah jalan raya, yang didapati memandu dengan kelajuan 170km/jam ke atas.

Beliau berkata, memandu dengan laju merupakan satu punca kemalangan malah boleh membawa maut, ditambah pula dengan penggunaan telefon bimbit ketika memandu.

Artikel Berkaitan:

“Paling menakutkan apabila pemandu kenderaan awam seperti bas dan lori menggunakan telefon sedangkan mereka membawa 40 nyawa ke zon konflik

“Sekiranya pemandu menggunakan telefon ketika memandu, tahap konsentrasi menurun sehingga 70 peratus, sekali gus mengundang risiko kemalangan,” katanya.

Selain itu beliau turut mengulas mengenai video tular, memaparkan sikap dua pemandu yang berakhir dengan kemalangan.

Menurutnya, ia bermula dengan sikap mahu menunjuk-nunjuk, seolah-oleh ‘bermain’ di jalan raya, tidak boleh sabar, mahu balas dendam dan mengambil tindakan di tangan sendiri.

Sedangkan katanya, pemandu perlu menanam sifat sabar dan bertoleransi kerana

jalan raya merupakan milik bersama 2 juta pengguna jalan raya yang lain.

Selain itu beliau berkata, bermula 8, 9, 13 dan 14 April, kenderaan berat 7,500kg ke atas, kecuali kenderaan komersial yang bawa ubatan, makanan, tidak benarkan berada di atas jalan raya sempena Hari Raya Aidilfitri ini.

“Jika ada pemandu dilaporkan melakukan kesalahan, aduan boleh dibuat menerusi aplikasi e-Aduan@JPJ.

“Orang ramai boleh memuat naik gambar atau video kesalahan jalan raya yang berlaku di depan mereka, contohnya melanggar lampu isyarat, mengunakan lorong kecemasan dan memotong barisan,” katanya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28