Guna kas-kas sebagai alternatif penggunaan bawang - LPP

Mahfuz (tiga dari kiri) melayan pengunjung yang hadir ke program Jualan Agro Madani Mega Raya di Dataran Jalan Istana Lama, di sini, pada Sabtu.
Mahfuz (tiga dari kiri) melayan pengunjung yang hadir ke program Jualan Agro Madani Mega Raya di Dataran Jalan Istana Lama, di sini, pada Sabtu.
A
A
A

ALOR SETAR - Orang ramai dicadangkan menggunakan rempah kas-kas dalam makanan pada Hari Raya Aidilfitri sebagai alternatif kepada bawang yang mengalami kenaikan harga.

Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Datuk Mahfuz Omar berkata, pengguna boleh menggunakan bahan alternatif itu untuk menambah keenakan masakan tersebut.

Bagaimanapun, beliau menasihatkan, penggunaan rempah kas-kas mengantikan bawang itu hanya boleh dalam kuantiti sedikit sahaja demi mengelakkan sebarang kemudaratan kepada kesihatan.

"Memang bawang ini membantu menyedapkan masakan tetapi apabila harganya terlalu mahal (tetapi) kita hendak guna juga (maka) ia akan membebankan rakyat kembali.

"Rakyat kena kreatif dan inovatif untuk mencari kaedah mengurangkan penggunaan bawang iaitu mengambil sedikit serbuk kaskas dan tidak boleh banyak," katanya.

Beliau berkata sedemikian kepada pemberita selepas merasmikan program Jualan Agro Madani Mega Raya di Dataran Jalan Istana Lama, di sini, pada Sabtu.

Hadir sama, Timbalan Pengerusi LPP, Datuk Hadzir Md Zain; Timbalan Ketua Pengarah Operasi LPP, Nik Mohd Shahril Nik Md Hashim dan Pengarah LPP Kedah, Azizul Lebai Ishak.

Mahfuz menambah, Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) juga tidak mengharamkan penggunaan kas-kas walaupun ia dari biji popi kerana digunakan dalam kuantiti sedikit.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan sama, Mahfuz memberitahu, LPP juga sedang memulakan penanaman bawang merah untuk mengurangkan kebergantungan terhadap bawang merah import.

Beliau berkata, untuk permulaan, ia melibatkan projek penghasilan benih bawang yang dimulakan di Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) terpilih.

Beliau berkata, setakat ini, PPK Sepang telah memulakan projek penanaman bawang untuk meningkatkan pengeluaran bawang dalam negara.

"PPK Sepang sudah ada, manakala PPK Kuala Langat akan dimulakan pada bulan Mei atau Jun nanti.Selepas kita tanam dan dapat hasil pertama, kita akan buat benih.

"Selepas itu, kita akan memperluaskan lagi dan Insya-ALLAH, kita akan kenal pasti tempat di Utara (supaya) selepas ini kita boleh cuba," katanya.

Beliau menambah, usaha LPP diharapkan membantu negara mencapai sasaran sebanyak 30 peratus pengeluaran bawang merah dalam negara menjelang tahun 2026.

Kata Mahfuz, ia sejajar dengan langkah Malaysia yang berusaha menanam sendiri bawang merah dan memperolehi hasil tuaian pertama dari projek di Kampung Ladang Bikam, Tanjung Malim, Perak.

Sebelum itu, Mahfuz turut membuat penyerahan geran kepada penerima dan meninjau reruai Jualan Agro Madani Mega Raya, selain mengedarkan bubur lambuk kepada pengunjung.

Jelasnya, program diserikan dengan 47 gerai Jualan Agro Madani dan pameran agensi yang menawarkan barang keperluan asas kepada penduduk tempatan pada harga berpatutan dan mampu milik.

Beliau memaklumkan, program jualan berkenaan diadakan demi menyediakan bekalan makanan yang mencukupi dan terjamin kebolehdapatan secara terus kepada pengguna.

Mahfuz menambah, sebagai contohnya, sebanyak 3,000 kampit beras disediakan untuk memenuhi keperluan pengguna terutamanya menjelang sambutan Aidilfitri tidak lama nanti.

Katanya, jualan itu adalah satu inisiatif kerajaan membantu rakyat dalam menangani peningkatan kos sara hidup melalui jualan hasil segar dari ladang dan produk industri asas tani dikeluarkan usahawan peladang dan Pertubuhan Peladang (PP).

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!