Isu sampah sudah dibawa ke pihak KKR, LLM - Wan Rosdy

Wan Rosdy (tengah) menyantuni penerima yang terpilih sempena program tersebut di Dewan Jubli Perak, Sultan Haji Ahmad Shah,Lipis pada Sabtu.
Wan Rosdy (tengah) menyantuni penerima yang terpilih sempena program tersebut di Dewan Jubli Perak, Sultan Haji Ahmad Shah,Lipis pada Sabtu.
A
A
A

LIPIS - Kerajaan negeri telah membawa isu pembuangan sampah-sarap di tepi bahu jalan laluan Lingkaran Tengah Utama (LTU) di sini kepada pihak Kementerian Kerja Raya (KKR) serta Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM).

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, masalah sampah-sarap yang sering memenuhi laluan LTU setiap kali musim perayaan itu tidak boleh dibiarkan begitu sahaja.

Menurutnya, tindakan tertentu harus diambil sementara menunggu kawasan Rehat dan Rawat (R&R) siap dibina yang akan mengambil sedikit masa lagi.

"Mungkin ada usaha dalam jangka masa pendek untuk menyelesaikan masalah ini termasuk kita akan minta pihak berkaitan untuk pantau perkara tersebut supaya boleh membantu perkara yang perlu.

"Majlis Daerah atau Pejabat Daerah boleh fikir bagaimana untuk atasi isu ini, mungkin tidak menyelesaikan tapi sekurang-kurangnya meminimumkan masalah yang ada,"katanya.

Penyerahan Cukai Tanah kepada pentadbir tanah Lipis oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) PKPP, Datuk Suhaimi Mohd Yunus (dua dari Kiri) sambil disaksikan Wan Rosdy (tengah)
Penyerahan Cukai Tanah kepada pentadbir tanah Lipis oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) PKPP, Datuk Suhaimi Mohd Yunus (dua dari Kiri) sambil disaksikan Wan Rosdy (tengah)

Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyampaian Sumbangan Aidilfitri Perbadanan Kemajuan Pertanian Negeri Pahang (PKPP) di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, Lipis pada Sabtu.

Dalam majlis terbabit, seramai 276 peserta Rancangan Penempatan Semula (RPSK) Merapoh, Jerkoh dan Peruang menerima RM700 setiap seorang.

Artikel Berkaitan:

Ujarnya, setakat ini kerajaan negeri belum berhasrat untuk mengenakan sebarang tindakan kepada pengguna jalan raya yang membuang sampah sesuka hati di laluan tersebut.

Jelas Wan Rosdy, langkah mengenakan tindakan disifatkan tidak adil kerana pihak kerajaan tidak menyediakan kemudahan yang sepatutnya termasuk R&R.

"Kalau kita sediakan kemudahan dan mereka tidak patuh maka boleh kita kenakan tindakan.

"Tapi ini kita tidak sediakan kemudahan, jadi kalau ada anak-anak yang hendak terkencing sebab menempuh perjalanan yang jauh macam mana nak buat dan mereka tidak ada pilihan," kata beliau.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!