Pilihan raya kerajaan tempatan tidak sesuai - Wan Rosdy

WAN ROSDY
WAN ROSDY
A
A
A

KUANTAN - Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menyifatkan sistem yang diguna pakai pada masa sekarang masih sesuai dengan kehendak semasa susulan cadangan mewujudkan pilihan raya kerajaan tempatan.

Beliau yang juga Menteri Besar Pahang memberitahu telah meneliti pandangan menarik oleh pelbagai pihak terbabit.

"Secara ringkasnya, hasrat untuk mengadakan semula pilihan raya kerajaan tempatan masih tidak sesuai dan bakal mengundang lebih mudarat baik dari segi perkhidmatan, kewangan mahupun polemik politik.

"Ia juga bakal menimbulkan ketidakselesaan antara kaum jika tidak ditadbir urus dengan baik," katanya dalam hantaran di Facebook pada Jumaat.

Dalam hantaran itu, beliau berpendirian teguh, apa jua yang hendak dilakukan, komitmen paling tinggi harus diberi dalam mengutamakan perkhidmatan terbaik untuk rakyat.

"Itulah agenda paling mustahak bagi sesebuah kerajaan tempatan. Sistem yang diguna pakai pada masa sekarang masih sesuai dengan kehendak semasa.

"Yang Dipertua atau Datuk Bandar adalah kebiasaannya dari kalangan penjawat awam yang senior, berpengalaman dan neutral dari segi kecenderungan politik," jelas beliau.

Jelasnya, ahli-ahli Majlis pula adalah lantikan kerajaan negeri yang sudah semestinya juga membawa hasrat dan agenda yang sama dengan kerajaan memerintah.

Artikel Berkaitan:

"Jika ada kepincangan, saya fikir itu adalah berkaitan dengan profesionalisme dan prestasi individu, bukan kepincangan sistem sedia ada.

"Saya amat risau jika kita memasukkan elemen politik (pilihan raya) di dalam sistem ini, ia akan lebih membawa mudarat. Boleh jadi fokus terhadap politik adalah lebih daripada fokus perkhidmatan kepada rakyat," tambahnya.

Katanya, mungkin juga kelak akan berlaku pemilihan yang bukan berdasarkan prestasi, tetapi persepsi.

"Dan itu lah yang berlaku pada masa kini, yang dipilih itu kadang-kala atas dasar popular, tetapi tidak boleh buat kerja.

"Kita juga harus menilai dari sudut implikasi kewangan. Jutaan ringgit bakal dibelanjakan untuk tujuan pilihan raya kerajaan tempatan.

"Mengambil iktibar apa yang berlaku di Parlimen Kemaman, RM3.5 juta terpaksa dibelanjakan sekali lagi untuk adakan pilihan raya kerana salah laku pemimpin di kawasan tersebut," ujarnya lagi.

Dalam pada itu, Wan Rosdy memberitahu ia boleh berlaku dalam pilihan raya kerajaan tempatan dan tegasnya wang tersebut lebih baik digunakan untuk kebajikan rakyat.

"Akhir sekali, saya ingin juga menasihati semua pihak agar lebih berhati-hati dalam memberi pandangan, terutamanya terhadap isu-isu yang sensitif.

"Saya melihat kadang-kala pandangan-pandangan itu sengaja dibuat untuk menimbulkan provokasi, tetapi berselindung disebalik nama demokrasi.

"Benar, ia adalah satu proses demokrasi yang baik. Namun ingatlah, sejauh manapun kita bersetuju dengan sistem demokrasi ini, jangan lah sampai kita terkorban hanya semata-mata ‘atas nama demokrasi’," jelas beliau.