Saifuddin tempelak HRW, masih belum tampil

Saifuddin bercakap pada sidang media di Depot Imigresen Bukit Jalil pada Jumaat. Foto Bernama
Saifuddin bercakap pada sidang media di Depot Imigresen Bukit Jalil pada Jumaat. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail memaklumkan Human Rights Watch (HRW) masih belum tampil kepada pihaknya selepas menyentuh isu berkait kebajikan tahanan warga asing di depot imigresen.

Katanya, tindakan HRW membuat laporan satu pihak adalah tidak bertanggungjawab sedangkan kerajaan menerusi Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) sentiasa menjaga kebajikan tahanan warga asing yang ditempatkan di depot tahanan.

“Terdapat warga asing antaranya dari Amerika Syarikat (AS) dan Filipina yang agak lama berada dalam tahanan depot. Ada yang sehingga sembilan tahun masih berada di bawah tahanan imigresen kerana tidak boleh dihantar ke negara asal mereka disebabkan negara itu tidak mahu mengaku rakyat mereka.

“Sebagai contoh bila ditanya, dia kata warga AS, tapi bila disemak dengan kedutaan AS, tiada pengesahan," katanya kepada pemberita semasa Majlis Penerapan Nilai-Nilai Murni JIM bersama Menteri Dalam Negeri di Depot Imigresen Bukit Jalil di sini pada Jumaat.

Turut hadir dalam majlis itu, Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh dan Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay.

Saifuddin berkata, biar pun identiti warga asing itu diragui, tetapi mereka tetap dijaga.

Kata Saifuddin, namun HRW melaporkan pihaknya bertindak kejam terhadap tahanan.

"Kalau betul nak (menjaga) hak asasi manusia, maka bantu kita uruskan mereka ini dengan lebih baik. Hal ini sepatutnya HRW mitigasi dan bantu kita.

Artikel Berkaitan:

"Sebab itu saya menempelak laporan sebelah pihak termasuk HRW yang sepatutnya cermat dan berlaku adil kepada kerajaan serta JIM,” katanya.

Bulan lalu, laporan HRW yang dikeluarkan mendakwa tahanan dalam depot imigresen diberikan layanan buruk dan berlaku pencabulan hak asasi manusia ke atas mereka.

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, kerajaan membelanjakan RM122,645,458.48 untuk kos penghantaran pulang, pengurusan perbelanjaan utiliti, makan minum dan barangan keperluan asas tahanan di 20 depot imigresen seluruh negara.

"Seramai 20,450 tahanan warga asing berada di depot terbabit," ujarnya.

Beliau berkata, kerajaan juga menyediakan peruntukan ratusan juta ringgit untuk menaik taraf depot tahanan di Lenggeng, Negeri Sembilan; Pekan Nanas, Johor; Bekenu, Sarawak; Sandakan dan Tawau di Sabah.

Tambahnya, projek menaik taraf itu membabitkan pagar keselamatan, rakaman kamera litar tertutup (CCTV), penggera keselamatan bagi tujuan kawalan pemantauan.

Dalam pada itu, Saifuddin memaklumkan, bagi tahun ini setakat Mac, JIM telah menghantar pulang 11,303 tahanan ke negara asal mereka yang terdiri 8,279 lelaki, 2,661 perempuan, 200 kanak-kanak lelaki serta 163 kanak-kanak perempuan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!