300 kanak-kanak warga asing ditempatkan di Baitul Mahabbah

Saifuddin (tengah) pada sidang akhbar semasa lawatan beliau di Depot Imigresen Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada Jumaat.
Saifuddin (tengah) pada sidang akhbar semasa lawatan beliau di Depot Imigresen Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada Jumaat.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seramai 300 kanak-kanak warga asing di bawah umur 10 tahun ditempatkan di tiga Baitul Mahabbah seliaan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, Baitul Mahabbah terletak di Nilai, Negeri Sembilan; Papar, Sabah dan Miri, Sarawak.

Katanya, kanak-kanak warga asing ini terdiri sama ada yang lahir di depot imigresen atau ditinggalkan ibu bapa masing-masing semasa operasi JIM.

"Atas perikemanusiaan, kita jaga kanak-kanak ini di depot dan diasingkan menerusi Baitul Mahabbah.

"Mereka ini berpeluang ikuti kelas seperti kenali huruf dan dikendalikan pihak JIM selain keadaan suasana yang kondusif," katanya kepada pemberita semasa Majlis Penerapan Nilai-Nilai Murni JIM bersama Menteri Dalam Negeri di Depot Imigresen Bukit Jalil di sini pada Jumaat.

Dalam pada itu, Saifuddin berkata, Kementerian Dalam Negeri (KDN) menerima peruntukan RM10 juta untuk menambah bilangan Baitul Mahabbah di Kelantan, Johor dan Kedah.

Ujarnya, KDN akan manfaatkan premis sedia ada untuk diubah suai sebagai Baitul Mahabbah yang baharu.

Tambah beliau, bagi tempoh tahun ini setakat Mac, JIM merekodkan 13,530 tahanan di depot imigresen dan Baitul Mahabbah seluruh negara.

Artikel Berkaitan:

"Mengikut pecahan, tahanan terdiri daripada 9,438 lelaki, 2,696 wanita, 772 kanak-kanak lelaki dan 624 kanak-kanak perempuan," ujarnya.

Kata beliau, daripada jumlah keseluruhan tahanan itu, warga Indonesia paling ramai iaitu 3,375 orang, Filipina (3,345), etnik Rohingya (2,653), Myanmar (1,988), Bangladesh (719), Thailand (340) dan selebihnya warga China, India, Vietnam, Nepal, Pakistan serta Kemboja.

Sebelum itu, Saifuddin meninjau Depot Imigresen Bukit Jalil bagi memantau aspek keselesaan bagi memastikan penjagaan tahanan dengan sifat kemanusiaan selain nilai ihsan yang perlu ditunjukkan.

Turut hadir ialah Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh dan Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!