'Padah majikan mahu untung gajikan warga asing pandu bas'

JPJ Selangor melaksanakan Op HRA di seluruh Selangor pada Khamis. Foto: JPJ Selangor
JPJ Selangor melaksanakan Op HRA di seluruh Selangor pada Khamis. Foto: JPJ Selangor
A
A
A

SHAH ALAM - Tindakan majikan membenarkan lelaki warga asing memandu bas pekerja atas alasan mahu untung hanya mengundang padah selepas kenderaan itu disita, di Seksyen 23, di sini pada Khamis.

Kesalahan itu dikesan menerusi Op Hari Raya Aidilfitri (HRA) yang diketuai Ketua Seksyen Operasi Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor, Muzlefa Kamarudin.

Pengarah JPJ Selangor, Azrin Borhan berkata, operasi bermula jam 8 pagi telah dijalankan serentak seluruh Selangor telah bertindak menyita bas pekerja itu yang dipandu lelaki warga India berusia 35 tahun.

Menurutnya, pemeriksaan mendapati lelaki asing itu tidak memiliki lesen memandu yang sah selain soal siasat majikan terbabit yang mendakwa tindakannya menggajikan warga asing kerana utamakan keuntungan.

"Majikan itu mendakwa mengambil pemandu asing bekerja hanya diberi gaji yang rendah.

Op HRA bermula jam 8 pagi di seluruh Selangor pada Khamis. Foto: JPJ Selangor
Op HRA bermula jam 8 pagi di seluruh Selangor pada Khamis. Foto: JPJ Selangor

"Bas yang disita ini antara 63 kenderaan yang disita termasuk 40 motosikal, 10 kereta serta 12 lori," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Operasi sehingga jam 11.59 tengah malam itu memfokuskan pemeriksaan secara keseluruhan bagi semua jenis kenderaan dan rondaan sepanjang musim perayaan.

Artikel Berkaitan:

Kata Azrin, sebanyak 1,518 saman hasil pemeriksaan 4,213 kenderaan telah dikeluarkan sepanjang operasi membabitkan kesalahan antaranya tiada lesen memandu, lesen memandu dan cukai jalan tamat tempoh, tiada perlindungan insuran serta sembilan kesalahan utama.

Tegasnya, tindakan diambil mengikut Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 serta Kaedah-kaedah di bawahnya dan Akta Pengangkutan Awam Darat 2010.

"Sitaan kenderaan dibuat kerana kesalahan tiada lesen memandu dan cukai jalan tamat tempoh," ujarnya.

Jelasnya, JPJ Selangor akan terus menjalankan penguatkuasaan secara berterusan ke atas semua jenis kenderaan dan advokasi kepada pengguna jalan raya agar sentiasa mematuhi peraturan dan undang-undang.

"Sebarang aduan trafik, orang awam boleh menyalurkan kepada aduantrafik@jpj.gov.my atau melalui platform aplikasi e-aduan@JPJ beserta butiran pengadu dan butiran aduan," katanya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28