Mustahil saya bersubahat menentang Najib - Jasmine Loo

Najib ketika hadir bagi prosiding sambung bicara kes penyelewengan dana 1MDB yang dihadapinya di Mahkamah Tinggi pada Jumaat. Foto Bernama
Najib ketika hadir bagi prosiding sambung bicara kes penyelewengan dana 1MDB yang dihadapinya di Mahkamah Tinggi pada Jumaat. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bekas peguam 1Malaysia Development Berhad (1MDB), menafikan bahawa beliau adalah sebahagian daripada kumpulan dalaman bersama-sama dengan pasukan pengurusan 1MDB yang bersubahat menentang Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menggelapkan wang daripada syarikat pembangunan strategik kendalian kerajaan itu.

Jasmine Loo Ai Swan, 50, berkata, adalah mustahil untuk dirinya bersekongkol dengan bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi menentang Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan pada ketika itu.

"Saya tidak bersetuju, adalah mustahil untuk saya berbuat demikian, itu adalah seperti menggali kubur saya sendiri," kata Jasmine.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya, Deepa Nair Thevaharan semasa pemeriksaan semula pada perbicaraan Najib membabitkan penyelewengan RM2.3 bilion dana 1MDB.

Menjawab soalan lain yang dikemukakan oleh Thevaharan, Jasmine berkata, walaupun dia sedar ahli perniagaan buruan Low Taek Jho mempunyai tabiat mempergunakan nama seseorang, dia mempercayai Jho Low sebagai jurucakap Najib kerana semua yang dikatakan biasanya akan disokong oleh peristiwa yang berlaku selepas itu.

"Sebagai contoh semasa mesyuarat di London pada 2011, Jho Low memberitahu saya terlebih dahulu bahawa Najib akan berada di sana dan kami (pengurusan 1MDB) harus menyediakan dokumen yang diperlukan untuk pinjaman tambahan AS$1 bilion.

"Ini juga apa yang diarahkan oleh Shahrol kepada saya tetapi Jho Low juga memberitahu saya perkara yang sama dan kemudiannya transaksi itu berlaku," kata Jasmine.

Jasmine juga memberi keterangan bahawa Najib telah membersihkan namanya berhubung salah laku dalam 1MDB pada 2017 selepas dia dipanggil untuk memberi kenyataan kepada Bank Negara Malaysia (BNM) dan polis pada 2016.

Artikel Berkaitan:

"Akhirnya saya hanya memberi kenyataan kepada BNM, bagaimanapun tiada sebarang tindakan diambil terhadap saya oleh kedua-dua pihak berkuasa pada 2016.

"Untuk itu saya percaya Najib telah membersihkan nama saya. Saya masih ingat melihat artikel berita Najib dalam jawapan di Parlimen dalam kapasitinya sebagai Menteri Kewangan pada ketika itu berkata, siasatan ke atas saya dan Casey Tang (seorang lagi eksekutif 1MDB) telah selesai dan kami telah dikeluarkan daripada senarai dalam pemerhatian BNM," katanya.

Saksi pendakwaan ke-50 itu merujuk kepada laporan media pada 8 Mac 2017 berhubung jawapan Najib terhadap soalan bertulis seorang anggota parti pembangkang, bekas Ahli Parlimen Kelana Jaya, Wong Chen.

Pada tarikh itu dalam jawapan bertulis Najib di Parlimen, Najib menyatakan Jasmine dan seorang lagi bekas eksekutif 1MDB, Casey Tang telah dikeluarkan daripada senarai dalam pemerhatian BNM, dan tindakan ini diambil berikutan selesainya siasatan pihak berkuasa.

"Sebagai makluman, siasatan melibatkan dua individu itu telah selesai dan berdasarkan keputusannya, tindakan penguatkuasaan telah diambil terhadap syarikat mengikut undang-undang sedia ada dengan persetujuan Jabatan Peguam Negara (AGC), dan BNM mengeluarkan surat kompaun kepada pentadbiran 1MDB kerana gagal mematuhi sepenuhnya arahan yang dikeluarkan di bawah Akta Kawalan Pertukaran Wang 1953,” Najib dipetik sebagai berkata dalam jawapan bertulis Parlimen kepada Wong Chen.

Bagaimanapun peguam Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah membantah perkara ini dan berkata, kedua-dua Jasmine dan Casey telah dikeluarkan daripada senarai BNM itu kerana bank pusat berkenaan telah mengenakan kompaun terhadap 1MDB.

Najib, 70, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya (sebagai Perdana Menteri) untuk mendapatkan rasuah berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung pada 22 April. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!