Jasmine Loo belum buat laporan polis mengenai ancaman Jho Low

Jasmine Loo, Jho Low
Jasmine Loo, Jho Low
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bekas peguam 1Malaysia Development Bhd memberitahu Mahkamah Tinggi di sini pada Rabu bahawa beliau belum membuat laporan polis terhadap ancaman yang diterima daripada ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low semasa bertahun-tahun bersembunyi sejak 2018.

Jasmine Loo Ai Swan, 50, berkata demikian ketika menjawab soalan peguam, Datuk Seri Najib Tun Razak, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berkenaan mengapa beliau tidak membuat sebarang laporan polis selepas menerima ancaman daripada Jho Low ketika berada di Thailand.

"Seperti, saya katakan sebelum ini, saya berada dalam ancaman dan sebarang pergerakan saya dipantau rapi.

"Saya tidak mahu membahayakan diri saya dengan melakukan sebarang gerakan bertentangan dengan arahan Jho Low, itulah sebab saya tidak ke mana-mana,” katanya.

Muhammad Shafee kemudian bertanya kepada saksi pendakwaan ke-50 itu sama ada beliau membuat laporan polis selepas pulang ke Malaysia.

Jasmine berkata: ”Belum lagi, saya akan mendapatkan nasihat peguam saya.”

Terdahulu, Jasmine mengakui Jho Low merupakan kawan baiknya dan beliau menerima hadiah mahal daripada ahli perniagaan itu termasuk sebuah beg tangan Hermes dan seutas jam tangan Richard Mille yang telah diserahkan kepada kerajaan.

Muhammad Shafee kemudian berkata saksi berkenaan selalu menyertai Jho Low dalam banyak aktiviti yang menyeronokkan seperti bercuti di Las Vegas, Amerika Syarikat, berjudi, menyaksikan perlawanan suku akhir Piala Dunia 2014 di Rio de Janeiro, Brazil dan berpesta dengan selebriti termasuk Adriana Lima dan Leonardo Di Caprio, semuanya yang ditaja sepenuhnya ahli perniagaan itu.

Artikel Berkaitan:

Jasmine bersetuju dengan cadangan itu dan berkata itu semua merupakan perkara biasa dilakukan antara kawan rapat.

"Dia (Jho Low) adalah seorang yang bersuara amat lembut jadi dia tidak menggunakan bahasa kasar sehingga 2015, 2016, bila dia kelihatan sedikit menjengkelkan,” katanya.

Muhammad Shafee mencadangkan kepada saksi bahawa Jho Low menjadi seorang yang menjengkelkan pada 2015 selepas skandal 1MDB didedahkan kepada umum dan Jasmine setuju dengan cadangan beliau.

Najib, 70, menghadapi empat pertuduhan iaitu menggunakan kedudukan beliau untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Sequerah bersambung 14 Mac ini. - Bernama

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28