Kelulusan Najib diperlukan dalam operasi 1MDB - Jasmine Loo

Najib (tengah) hadir untuk perbicaraan kes 1MBD di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Rabu. Foto Bernama
Najib (tengah) hadir untuk perbicaraan kes 1MBD di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Rabu. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bekas peguam 1Malaysia Development Bhd (1MDB) memberitahu Mahkamah Tinggi di sini pada Rabu bahawa kelulusan Datuk Seri Najib Tun Razak diperlukan sebelum sebarang langkah dibuat dalam operasi 1MDB kerana beliau memegang tiga jawatan penting di dalam syarikat itu.

Jasmine Loo Ai Swan, 50, berkata, adalah menjadi amalan, malah sebelum beliau menyertai syarikat itu kesemua perkara perlu dikemukakan kepada Najib, yang memegang jawatan Perdana Menteri, Menteri Kewangan dan Pengerusi Lembaga Penasihat (CBOA) 1MDB sebelum sebarang projek boleh diambil 1MDB.

"Ia merupakan amalan dalam 1MDB untuk setiap perkara dirujuk kepada Najib dahulu. Sebenarnya, ia merupakan keputusan seorang individu yang membuat semua keputusan ini,” kata Jasmine.

Bagaimanapun, peguam Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berkata, terdapat perbezaan antara ketiga-tiga peranan anak guamnya dan Jasmine sebagai peguam seharusnya tahu bahawa Najib selaku CBOA tidak boleh membuat keputusan tanpa merujuk terlebih dahulu kepada Lembaga Pengarah 1MDB.

"Sebaliknya, anda dengan sengaja tidak mengendahkannya sebagai sebahagian daripada konspirasi untuk memperdayakan 1MDB,” kata Muhammad Shafee.

Jasmine tidak bersetuju dengan cadangan Muhammad Shafee dan menegaskan Najib sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan serta CBOA merupakan individu sama dan satu kelulusan daripada beliau merupakan kelulusan daripada ketiga-tiga peranan yang dimainkannya pada ketika itu.

"Ketika menyertai 1MDB, ia sudah menjadi amalan dan kami bergantung kepada penasihat kesetiausahaan syarikat profesional. Jika mereka mempunyai pandangan berbeza mereka akan melakukannya seperti itu,” katanya.

Mengenai soalan lanjut daripada peguam itu, Jasmine tidak bersetuju dengan testimoni oleh bekas pengurus bank Goldman Sachs, Tim Leissner ketika perbicaraan kes 1MDB Roger Ng di mahkamah New York mengenai bagaimana beliau merupakan komponen utama yang menghubungkan ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho kepada syarikat itu.

Artikel Berkaitan:

Muhammad Shafee: Adakah anda sedar anda dilantik pada asasnya hanya untuk membuat dokumen yang tidak sah di sisi undang-undang menjadi sah?

Jasmine: Saya tidak sedar.

Muhammad Shafee kemudian membaca petikan daripada testimoni Leissner di mahkamah New York dan menyatakan Jasmine tidak gembira dengan jumlah wang yang akan diterimanya daripada 1MDB kerana ia tidak mencukupi, dan Jasmine berkata, beliau tidak bersetuju terhadap sebarang kenyataan itu.

Najib, 70, menghadapi empat pertuduhan iaitu menggunakan kedudukan beliau untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.

Perbicaraan di hadapan Datuk Collin Sequerah bersambung. - Bernama

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28