Rayuan Indira Ghandi mulakan prosiding hina mahkamah terhadap KPN ditolak

Indira Ghandi. Foto Bernama
Indira Ghandi. Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Mahkamah Rayuan pada Jumaat menolak rayuan seorang guru tadika untuk memulakan prosiding menghina mahkamah terhadap Ketua Polis Negara (KPN) kerana gagal mematuhi perintah pemulihan bagi mengesan anak bongsunya yang telah diambil oleh bekas suami pada 2019.

Tiga panel hakim yang diketuai oleh Datuk Azizah Nawawi membuat keputusan itu selepas berpendapat Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan terikat dengan keputusan Mahkamah Persekutuan pada 2016 bahawa perintah pemulihan tidak boleh dikeluarkan jika terdapat dua perintah hak penjagaan yang bercanggah.

Sebelum ini, Mahkamah Syariah memberikan hak penjagaan tiga anak M Indira Ghandi kepada bekas suaminya, K Pathmanathan manakala Mahkamah Tinggi Sivil memberikan hak penjagaan mereka kepada beliau.

Azizah berkata, Mahkamah Persekutuan juga telah memutuskan bahawa KPN boleh dimaafkan jika tidak mengambil sebarang tindakan berhubung perintah pemulihan apabila terdapat dua perintah hak penjagaan yang bercanggah.

Beliau berkata, Mahkamah Rayuan bersetuju dengan Mahkamah Tinggi bahawa Indira Gandhi tidak mempunyai sebarang asas untuk memohon kebenaran bagi memulakan prosiding menghina mahkamah terhadap KPN.

Panel itu, yang turut dianggotai Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali dan Datuk Hashim Hamzah, mengarahkan Indira Gandhi membayar kos RM10,000.

Pada 2016, Mahkamah Persekutuan telah mengarahkan KPN menangkap Pathmanathan kerana mengingkari perintah Mahkamah Tinggi supaya dia menyerahkan Prasana Diksa kepada Indira Gandhi.

Bagaimanapun, Mahkamah Persekutuan tidak mengeluarkan perintah pemulihan yang dimohon oleh Indira Gandhi untuk mendapatkan semula anak perempuannya itu.

Artikel Berkaitan:

Mahkamah Persekutuan juga telah mengembalikan kes itu ke Mahkamah Tinggi di Ipoh untuk hakim memantau perkembangan pelaksanaan waran komital terhadap Pathmanathan.

Pada 3 Mac 2009, Pathmanathan memeluk agama Islam dan secara sebelah pihak telah mengislamkan ketiga-tiga anak mereka.

Beliau kemudian mendapatkan perintah hak penjagaan bagi mereka daripada Mahkamah Tinggi Syariah manakala Mahkamah Tinggi Sivil memberikan hak itu kepada Indira Gandhi pada 11 Mac 2010.

Bagaimanapun, selepas perintah itu dikeluarkan, Prasana Diksa yang ketika itu berusia sebelas bulan telah dilarikan oleh Pathmanathan.

Indira Gandhi telah memulakan prosiding komital terhadap Pathmanathan, atau nama Islamnya Muhammad Riduan Abdullah, kerana enggan mematuhi perintah hak penjagaan yang dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi Sivil.

Mahkamah Tinggi kemudian memutuskan Pathmanathan bersalah kerana menghina mahkamah dan mengeluarkan waran komital.

Indira memperoleh perintah mandamus pada September 2014 untuk memaksa KPN melaksanakan waran itu terhadap Pathmanathan selepas beliau enggan mewajibkan pelaksanaannya atas alasan polis telah diletakkan dalam keadaan ketidaktentuan kerana terdapat dua perintah mahkamah yang bercanggah.

Pada 30 Mei 2014, Indira Gandhi memperoleh perintah pemulihan daripada Mahkamah Tinggi yang mengarahkan KPN atau Pesuruhjaya Polis atau Ketua Pegawai Polis untuk mengarah dan memastikan pegawai polis yang berkaitan memfailkan afidavit pada minggu pertama setiap bulan bagi mengemas kini mahkamah mengenai proses mendapatkan semula Prasana Diksa.

Indira Ghandi mendakwa pihak polis gagal berbuat demikian dan memfailkan permohonan bagi mendapatkan kebenaran untuk memulakan prosiding menghina mahkamah terhadap KPN.

Pada 4 Ogos 2022, Mahkamah Tinggi Ipoh menolak permohonan Indira Gandhi dan beliau telah merayu kepada Mahkamah Rayuan.

Peguam Rajesh Nagarjan dan Sachpreetraj Singh Sohanpal mewakili Indira Gandhi manakala KPN diwakili Peguam Kanan Persekutuan Mankiranjit Kaur. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!