Bank Rakyat catat keuntungan RM1.76 bilion bagi 2023

Bank Rakyat catat keuntungan RM1.76 bilion bagi 2023.
Bank Rakyat catat keuntungan RM1.76 bilion bagi 2023.
A
A
A

KUMPULAN Bank Rakyat merekodkan keuntungan sebelum cukai dan zakat (PBTZ) yang lebih tinggi sebanyak RM1.76 bilion iaitu meningkat 3.80 peratus atau RM64.48 juta bagi tahun kewangan berakhir 2023 berbanding RM1.70 bilion pada tahun sebelumnya.

Bank Rakyat dalam satu kenyataan berkata, ia dicapai melalui asas kukuh dan fokus terhadap aktiviti teras untuk kekal berdaya tahan meskipun ketidaktentuan pasaran ekonomi global serta persekitaran perbankan semakin mencabar.

“Prestasi memberangsangkan ini dipacu aktiviti pembiayaan dan pelaburan yang mampan, pertumbuhan teguh Akaun Semasa, Akaun Simpanan dan Akaun Pelaburan (CASAIA) serta peruntukan penjejasan mencukupi pada tahun semasa sejajar aliran industri,” katanya pada Jumaat.

Menurut kenyataan itu, pendapatan utama melonjak sebanyak 12.90 peratus kepada RM6.67 bilion berbanding RM5.90 bilion sebelum ini yang didorong pertumbuhan pembiayaan tahun ke tahun (Y-oY) 3.82 peratus dalam semua segmen perniagaan.

“Prestasi lebih baik ini turut disokong peningkatan pendapatan berasaskan fi dan pendapatan lain sebanyak 31.58 peratus atau RM139.21 juta kepada RM580 juta berbanding RM440.79 juta pada tahun sebelumnya.

“Kumpulan mempamerkan disiplin pengurusan kos efisien, dicerminkan oleh kadar nisbah kos kepada pendapatan yang sihat sebanyak 47.85 peratus, lebih rendah daripada purata industri,” ujarnya.

Mengulas lanjut, kenyataan itu berkata, jumlah aset turut meningkat sebanyak 1.16 peratus atau RM1.36 bilion kepada RM118.69 bilion berbanding RM117.33 bilion pada tahun sebelumnya.

Katanya, ia didorong pertumbuhan kukuh baki kasar pembiayaan, diimbangi oleh aset perbendaharaan yang lebih rendah sebanyak 3.71 peratus selari dengan strategi pengurusan portfolio aset perbendaharaan.

Artikel Berkaitan:

“Baki kasar pembiayaan mengekalkan trajektori pertumbuhan positif, meningkat sebanyak 3.82 peratus kepada RM83.51 bilion daripada RM80.44 bilion.

“Meskipun persaingan yang sengit, Kumpulan terus mendapat manfaat menerusi pempelbagaian portfolio terutamanya Pembiayaan Perumahan-i, Pembiayaan Kenderaan-i dan Pembiayaan Perniagaan-i.

“Hasil daripada kepelbagaian ini, segmen pembiayaan runcit Kumpulan meningkat sebanyak 3.22 peratus kepada RM74.77 bilion dan segmen perniagaan mencatatkan pertumbuhan yang kukuh sebanyak 16.57 peratus kepada RM8.18 bilion,” katanya lagi.

Sementara itu, jumlah CASAIA juga meningkat sebanyak 6.80 peratus kepada RM10.19 bilion berbanding RM9.49 bilion sebelum ini hasil daripada aktiviti pengurusan tunai yang agresif serta aktiviti promosi yang memberi impak sepanjang tahun.

“Nisbah CASAIA meningkat kepada 12.55 peratus berbanding 11.16 peratus pada tahun sebelumnya, seiring dengan aspirasi pelan strategik lima tahun Kumpulan (BR25),” jelasnya.