RM4 bilion bagi projek impak tinggi ECERDC

Wan Rosdy (kanan) ketika menjawab soalan di Sidang DUN Pahang di Wisma Sri Pahang pada Isnin.
Wan Rosdy (kanan) ketika menjawab soalan di Sidang DUN Pahang di Wisma Sri Pahang pada Isnin.
A
A
A

KUANTAN - Sejumlah RM4 bilion telah diperuntukkan bagi menjalankan projek-projek berimpak tinggi yang dilaksanakan oleh Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) sejak penubuhannya.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, projek berimpak tinggi itu meliputi kluster pelancongan, pembuatan, pembangunan infrastruktur, perniagaan tani dan sosioekonomi.

Menurutnya, projek yang telah siap dilaksanakan ialah, sektor pelancongan di Taman Tasik Chini dengan kos RM63.4 juta, Pembangunan Pelancongan Warisan Pekan (RM66 juta) dan Kuantan Waterfront- Menara Kuantan 188, Serambi Teruntum dan laman Teruntum yang berjumlah RM132.5 juta.

"Bagi kluster pembuatan membabitkan Taman Automatif Pekan, Taman Industri Halal Gambang, Taman Teknologi Pahang dan Taman Industri Kuantan Malaysia-China (MCKIP) jumlah keseluruhan RM559.9 juta.

"Kluster pembangunan Infrastruktur pula RM2,419.7 juta, kluster Perniagaan Tani (RM139.7 juta) manakala kluster sosioekonomi pula sebanyak RM408.8 juta. Kesemua projek yang siap di bawah lima kluster ini berjumlah RM3,790 juta," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Barisan Nasional (BN-Padang Tengku), Datuk Mustafa Long yang ingin mengetahui senarai projek berimpak tinggi yang dilaksanakan ECERDC di Pahang pada Sesi Pertanyaan Lisan Mesyuarat Ke-3 Penggal Ke-2 Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, pada Isnin.

Mustafa juga mahu kerajaan mengatakan faedah daripada aspek peluang pekerjaan dan peningkatan kuasa beli kepada penduduk setempat hasil dalam pelaksanaan projek berimpak tinggi yang dibangunkan di daerah Lipis.

Wan Rosdy memaklumkan beberapa projek yang masih dalam pelaksanaan membabitkan kluster pelancongan dengan peruntukan RM16 juta, pembuatan RM80 juta dan pembangunan infrastruktur RM114.1 juta.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, projek ini membabitkan jumlah keseluruhan RM201.1 juta.

Dalam persidangan itu, Wan Rosdy berkata, sebanyak 1,250 peluang pekerjaan dan 1,850 peluang keusahawanan telah diwujudkan melalui program-program pembangunan modal insan Empower ECER Latihan Kemahiran dan Pembangunan Usahawan serta Entrepreneur ECER yang dilaksanakan di Daerah Lipis.

Menurutnya, program sedemikian dapat meningkatkan taraf sosioekonomi masyarakat tempatan.

“Program Empower ECER Latihan Kemahiran dan Pembangunan Usahawan adalah bertujuan mewujudkan usahawan baharu dan melahirkan tenaga kerja melalui bimbingan bagi menjana dan meningkatkan pendapatan.

“Bagi Program Empower Entrepreneur ECER (Upscalling) bertujuan membangunkan usahawan Industri Kecil dan Sederahana (IKS) sedia ada ke tahap yang lebih tinggi melalui dua kaedah iaitu Dana Pinjaman Mudah dan Pembangunan Kualiti Produk bagi Jaminan Pasaran,” katanya.

Tambahnya, Program Entrepreneur ECER menyediakan program bimbingan terhadap pembangunan kualiti produk, perniagaan usahawan mikro dan SME dari segi persijilan Halal dan MeSTI, pengurusan kualiti, pengurusan produktiviti, pembangunan pemasaran (dalam dan luar negara) serta pembungkusan produk.

Selain itu, ujarnya program pembiayaan mudah melalui bank pula menyediakan pembiayaan kepada usahawan mikro dan SME.

"Separuh daripada kadar keuntungan (interest) yang dikenakan oleh Bank dibiayai ECERDC," katanya.