Ummah #GrandReset: Perkasakan ekonomi umat Islam

Nadzim ditemui pemberita selepas usai pelancaran Ummah #GrandReset: Ekonomi di Karangkraf, Shah Alam pada Jumaat.
Nadzim ditemui pemberita selepas usai pelancaran Ummah #GrandReset: Ekonomi di Karangkraf, Shah Alam pada Jumaat.
A
A
A

SHAH ALAM - Kejadian yang menimpa umat Islam di Gaza merupakan satu tamparan bagi umat Islam keseluruhannya yang dilihat tidak mampu untuk 'berbuat apa-apa' kerana rejim Zionis sedang menguasai ekonomi dunia.

Terpanggil dengan kejadian itu, Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) bersama Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) dan Kumpulan Karangkraf melancarkan Ummah #GrandReset: Ekonomi bagi membangkitkan dan memperkasakan kembali ekonomi umat Islam khususnya di Malaysia.

Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan berkata, sudah sampai masanya umat Islam memperkuatkan kembali taraf ekonomi bagi mengelak daripada terus diperlekeh dan dipandang hina.

Susulan itu tegasnya, setiap umat Islam harus mempunyai kesedaran bahawa pentingnya menguasai ekonomi bagi 'menggeruni' dunia selain dapat membantu mereka yang lain.

"Ini orang kita dihina takkan hendak dibiarkan, mana boleh begitu, jadi kitalah kena ada kesedaran (untuk naikkan ekonomi), jadi saya harap sangat kita berubah.

"Saya yakin jika kita bangkit satu dua bulan kita buat (bersatu) kita akan berjaya (melihat hasilnya), buatlah kita tidak boleh selesa, jadi kita buat betul-betul, ajak semua anak-anak, keluarga, kawan-kawan untuk majukan ekonomi, usahakan bersungguh-sungguh, kerana akhirnya ekonomi yang kuat akan membina ummah yang kuat," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Beliau berkata demikian selepas berakhirnya program pelancaran berkenaan yang diadakan di Kumpulan Karangkraf.

Hadir sama, penasihat Kumpulan Karangkraf, Datuk Hussamuddin Yaacub; Ketua Pegawai Eksekutif, (WUIF) Marhaini Yusoff; ahli dan tokoh perniagaan.

Artikel Berkaitan:

Katanya lagi, ekonomi umat Islam tidak kuat juga berpunca daripada sikap yang tidak bersatu dan perjuangan secara bersendirian.

"Malah ada yang ingin menjatuhkan antara satu sama lain sedangkan matlamatnya sepatutnya saling menguatkan.

"Selain itu, kita juga dilihat gagal mengamalkan nilai al-Quran dalam perniagaan, itu antara punca ekonomi kita lemah," tegasnya.

Dalam pada itu tambahnya, bagi pemilik perniagaan pula, selain sentiasa mencari ruang kerjasama sesama umat Islam, mereka juga perlu sentiasa meningkatkan taraf perkhidmatan dan produk bagi memastikan penghasilan atau pembuatan mereka menjadi pilihan di pasaran.

"Oleh itu nilai kitab suci ini perlu diangkat dalam perniagaan masing-masing, dan berniagalah mengikut kepatuhan syariah.

"Tokoh agama juga perlu lebih menggalakkan umat Islam membina kekuatan ekonomi selain fokus membina kekuatan spiritual," katanya.

INFO

Ummah #GrandReset:Ekonomi membawakan panduan daripada surah al-Jumuah dengan menjadikan hari Jumaat sebagai momentum penting bagi reset minda ummah berkaitan ekonomi.

Surah al-Jumuah memberikan panduan kepada kita bahawa berkumpulnya ummah di masjid, mendengar khutbah dan solat kemudian bertebaran di muka bumi, bagi menjana ekonomi bagi ummah.

Kesatuan yang dibina ketika khutbah dan solat Jumaat tidak seharusnya terhenti di situ, malah perlu dibawa keluar masjid sejurus selepas bersurai dan masih mengekalkan minda bersatu dalam penjanaan ekonomi.

Panduan daripada surah al-Jumuah ini adalah model bagi membina ekonomi ummah yang kuat dan jitu.