Tular titah lama Sultan Nazrin disiasat bawah Seksyen 505

Mohd Yusri (tengah) menyaksikan serah terima tugas antara Yahaya (kiri) dengan Abang Zainal Abidin pada Khamis.
Mohd Yusri (tengah) menyaksikan serah terima tugas antara Yahaya (kiri) dengan Abang Zainal Abidin pada Khamis.
A
A
A

IPOH - Polis telah menjalankan siasatan di bawah Seksyen 505(c) Kanun Keseksaan berhubung penularan kenyataan berunsur perkauman yang memetik titah diraja Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah 19 tahun lepas dalam konteks salah.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, siasatan kes itu turut dijalankan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Menurutnya, setakat ini hanya satu laporan diterima berkaitan perkara itu yang dibuat di Balai Polis Travers, Kuala Lumpur, bulan lalu.

"Tiada laporan dibuat di Perak setakat ini dan kes ini telah diserahkan kepada Kontinjen Kuala Lumpur untuk siasatan lanjut," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Ipoh di Mess Pegawai Kanan Polis di sini pada Khamis.

Dalam majlis itu, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad dilantik sebagai Ketua Polis Daerah Ipoh baharu menggantikan Asisten Komisioner Yahaya Hassan yang bersara wajib berkuat kuasa pada Jumaat.

Media sebelum ini melaporkan, Pejabat Dewan Negara Perak membuat laporan polis selepas mendapati ada pihak mahu menghidupkan bara perkauman dan keagamaan, hingga mengaitkan secara luar konteks titah yang dizahirkan baginda pada 2005.

Laporan dibuat pada 28 Mac itu antara lain demi melindungi nama baik Sultan Perak daripada diheret dan dicemari oleh mana-mana pihak untuk memenuhi agenda tersurat dan tersirat.

Dalam perkembangan lain, Mohd Yusri berkata, polis masih menjalankan siasatan bagi mengenal pasti suspek utama dalam kes lempar bom petrol di kedai serbaneka KK Mart dekat Bidor pada 26 Mac lalu.

Artikel Berkaitan:

Katanya, setakat ini, pihaknya sudah merakam keterangan tujuh individu membabitkan saksi dan kakitangan premis berkenaan.

"Suspek perbuatan itu masih belum dikenal pasti dan siasatan masih diteruskan," katanya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28