Sultan Nazrin terima menghadap Menteri KPKT

Sultan Nazrin (kanan) berkenan menerima menghadap Kor Ming di Istana Hinggap Perak di Kuala Lumpur pada Khamis. Foto ihsan pembaca
Sultan Nazrin (kanan) berkenan menerima menghadap Kor Ming di Istana Hinggap Perak di Kuala Lumpur pada Khamis. Foto ihsan pembaca
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan menerima menghadap Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming di Istana Hinggap Perak di sini pada Khamis.

KPKT dalam satu kenyataan memaklumkan, Kor Ming telah mempersembahkan pelbagai pencapaian, anugerah yang diperoleh dan pelbagai inisiatif kementerian untuk membantu rakyat sejak Kerajaan Madani dibentuk pada Disember 2022.

Menurut kenyataan tersebut, Ahli Parlimen Teluk Intan itu turut menyatakan komitmen untuk terus memacu pembangunan Rumah Mampu Milik (RMM) yang berkualiti tinggi dan model baharu Program Perumahan Rakyat (PPR) yang bakal dilancarkan tidak lama lagi.

"Dalam sesi yang berlangsung hampir sejam itu, beliau mempersembahkan siri kejayaan KPKT dalam melaksanakan pembinaan prasarana awam termasuk model baharu pasar-pasar awam dan inisiatif tandas awam bertaraf Bersih, Menawan, Wangi (BMW).

"Selain itu, MyKiosk yang bertenaga hijau, PBT Pay, penambahbaikan Garis Panduan OSC 3.0 plus, inovasi daripada pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan banyak lagi," katanya.

Tambah kenyataan itu, KPKT bakal melancarkan Bandar PR1MA pertama dalam negara tahun ini.

"Projek ini berdekatan tapak pembinaan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Kampus Teluk Intan akan menawarkan lebih 1,000 unit RMM yang berkualiti tinggi selain perancangan bandar yang mampan, lestari dan selesa.

"Projek berkenaan akan dilaksanakan di atas tanah seluas 57.5 hektar dengan nilai pembangunan kasar (GDV) dianggarkan berjumlah RM800 juta," katanya.

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!