ZPP salur saguhati RM500 kepada pesakit dialisis sempena Aidilfitri

A
A
A

GEORGE TOWN - Seramai 197 pesakit buah pinggang di seluruh cawangan Zakat Pulau Pinang (ZPP) menerima saguhati sebanyak RM500 untuk menerima perkhidmatan rawatan hemodialisis di Pusat Hemodialisis Zakat (PHZ) sempena Hari Raya Aidilfitri.

Timbalan Ketua Menteri 1, Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid berkata, pemberian itu diluluskan dalam Mesyuarat Khas Ahli Lembaga Pengarah ZPP bagi tahun ini sebagai Saguhati Khas Aidilfitri kepada pesakit-pesakit PHZ.

Menurutnya, PHZ telah diwujudkan oleh Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) melalui ZPP pada 2001.

"PHZ merupakan projek agihan ZPP yang menawarkan perkhidmatan rawatan hemodialisis kepada asnaf yang mengalami kegagalan fungsi buah pinggang peringkat akhir.

"Sehingga kini, PHZ mempunyai lapan cawangan di seluruh Pulau Pinang yang memberikan rawatan percuma kepada 197 orang pesakit tanpa penajaan daripada mana-mana agensi atau syarikat takaful," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata, pesakit yang menerima rawatan di semua cawangan PHZ merupakan asnaf kategori fakir, miskin dan ghorimin.

"Pemberian saguhati khas ini adalah sebagai salah satu keprihatinan MAINPP dalam membantu pesakit-pesakit PHZ membuat persiapan bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri dengan kesyukuran dan kegembiraan," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Artikel Berkaitan: