World #QuranHour sedia 5,193 hotspot

Marhaini
Marhaini
A
A
A

SHAH ALAM – Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) akan menyediakan lokasi hotspot untuk dikunjungi di seluruh negara bagi mereka yang tidak dapat menghadirkan diri ke lokasi perdana World #QuranHour 2024 di Masjid Negara pada Khamis.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Marhaini Yusoff berkata, maklumat mengenai lokasi hotspot berkenaan boleh diketahui menerusi Facebook Quran Hour dan portal Sinar Harian.

Menurutnya, setakat ini terdapat 5,193 lokasi terdiri daripada masjid, sekolah, surau, universiti dan agensi kerajaan sudah mengesahkan untuk menjadi lokasi hotspot World #QuranHour 2024.

“Terdapat lapan lokasi hotspot di Singapura, Brunei, Indonesia, Bangladesh, Thailand dan Arab Saudi.

“Hotspot ini meliputi Ar-Rahman Academy, Masjid Assyakirin (Singapura); Masjid Rashidah Sa'adatul Bolkiah (Brunei); Masjid Banda Aceh, Masjid Istiqlal (Indonesia) dan kedutaan Malaysia di Bangkok dan Riyadh,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah berkenan berangkat World #QuranHour 2024 dan baginda dijangka tiba jam 11.45 pagi sebelum World #QuranHour 2024 dimulakan tepat jam 12.00 tengah hari.

World #QuranHour 2024 akan disiarkan secara langsung menerusi enam stesen televisyen termasuk penyiar rasminya Astro Oasis, Awani, RTM, TV Al-Hijrah dan TV9 serta platform Sinar Harian.

Selain itu, tetamu kenamaan yang dijangka hadir termasuklah beberapa menteri kabinet, pemimpin politik, organisasi kerajaan, ahli Parlimen, mufti dan duta asing.

Artikel Berkaitan:

“Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek; Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Zulkifli Hasan; Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli; dan Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay ialah antara individu yang sudah mengesahkan kehadiran di lokasi perdana.

“Ini merupakan penganjuran ke-9 World #QuranHour dan sudah pastinya kehadiran Raja Permaisuri Agong sendiri di bawah tahun pertama pemerintahannya akan membawa mesej dan semangat kepada rakyat bagaimana Raja berperanan menjadi payung agama Islam di negara ini,” katanya.

Dalam pada itu, Marhaini berkata, setakat ini pihaknya menyasarkan 5,000 jemaah dijangka hadir pada penganjuran World #QuranHour 2024 kali ini.

“Kita harap orang ramai dapat datang awal ke lokasi perdana dengan membawa terjemahan al-Quran masing-masing dan memfokuskan Surah Al-Jumu’ah untuk kita melakukan ummah ‘grand reset’.

“Fokus kita adalah formula yang Rasullullah lakukan sebagaimana dicatatkan dalam Surah Al-Jumu’ah iaitu tentang bagaimana kita membaca dan memahami al-Quran untuk pengurusan kehidupan kita," katanya.

INFO

- Hotspot merangkumi masjid, sekolah, surau, universiti dan agensi kerajaan.

- Lapan daripadanya berada di Singapura, Brunei, Indonesia, Bangladesh, Thailand dan Arab Saudi.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28