Stoking kalimah ALLAH: Tahap sensitiviti rakyat Malaysia semakin menurun

Ismail Sabri
Ismail Sabri
A
A
A

SHAH ALAM - Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob melahirkan kebimbangan dengan tahap sensitiviti rakyat Malaysia yang semakin menurun ketika ini meskipun telah lama hidup dalam masyarakat berbilang bangsa.

Menurut Ahli Parlimen Bera itu, situasi tersebut dapat dilihat melalui insiden penjualan stoking tertera kalimah ALLAH yang mencetuskan polemik sehingga kini.

Ujarnya, semua pihak seharusnya menghormati satu sama lain, di samping memahami budaya setiap bangsa, bagi mengelak perkara sama berulang.

“Macam soal agama bukan setakat Islam sahaja tidak boleh disentuh, agama orang lain pun kita perlu hormat. Tak boleh kata mereka kena hormat kita sahaja, kita pun kena hormat dia dan kadang-kadang kena letak diri kita dalam diri orang lain.

“Soal kesucian agama adalah soal yang tidak boleh dikompromi oleh mana-mana agama. Saya yakin jika gambar tuhan agama lain juga diletakkan di stoking, agama lain juga tidak boleh berkompromi. Jadi semua pihak mesti berhati-hati dalam perkara yang membabitkan agama," katanya seperti di lapor portal berita, Free Malaysia Today (FMT).

Baru-baru ini, tular di media sosial berhubung kewujudan stokin memaparkan kalimah ALLAH yang dijual di kedai rangkaian serbaneka, KK Super Mart sehingga mencetuskan kemarahan umat Islam.

Susulan itu, beberapa pihak tampil mengajak orang Islam memboikot kedai berkenaan sebagai pengajaran agar perkara itu tidak berulang.

Bagaimanapun, isu berkenaan semakin panas apabila tiga cawangan kedai serbaneka itu dibaling molotov cocktail dengan kejadian terbaru di Kuching, Sarawak.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Ismail Sabri dalam masa sama turut mengajak rakyat di negara ini untuk kembali bersatu dan mengambil mesej Keluarga Malaysia yang diperkenalkan ketika pentadbirannya sebelum ini.

“Disebabkan itu saya memperkenalkan konsep Keluarga Malaysia supaya dapat hidup seperti sebuah keluarga menyayangi dan menghormati satu sama lain.

“Kepelbagaian ini satu keunikan yang sepatutnya dirai dan menjadi kebanggaan rakyat kita,” katanya.

Sinar Harian pada Rabu melaporkan, Jawatankuasa Keharmonian Antara Penganut Agama (JK HARMONI) yang diuruskan oleh Kementerian Perpaduan Negara dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan mengadakan mesyuarat tergempar berkaitan isu sensitiviti kaum dan agama.

Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar dalam satu kenyataan bersama berkata, perkara itu penting bagi mengambil langkah-langkah segera dalam menjamin keharmonian rakyat dan negara.