Isu stoking kalimah ALLAH: Dr Akmal ditahan bantu siasatan Akta Hasutan

A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh disiasat mengikut Seksyen 4 (1) Akta Hasutan 1948 berhubung isu stoking tertera kalimah ALLAH.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, PDRM menerima dua laporan berkaitan ucapan dan tindakan Dr Akmal berhubung isu tersebut.

Beliau berkata, kes melibatkan stoking tersebut yang dijual di kedai serbaneka KK Mart disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

"Siasatan dijalankan ke atas beliau dan kertas siasatan akan dirujuk ke Pejabat Peguam Negara setelah kesemua tindakan melengkapkan siasatan diambil.

ARTIKEL BERKAITAN:Dr Akmal ditahan polis sebaik tiba di Kota Kinabalu

"Orang ramai dinasihatkan agar tidak membangkitkan isu berkaitan stoking tertera kalimah ALLAH memandangkan mereka yang terlibat telah pun dituduh dan proses keadilan akan ditentukan oleh mahkamah," katanya dalam satu kenyatan pada Jumaat.

Terdahulu, Dr Muhamad Akmal mengesahkan beliau ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu pada pagi Jumaat setelah tular video penahanannya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA), Sabah.

Menurut Exco Melaka itu, beliau sepatutnya dijadualkan untuk memberi keterangan di IPD Dang Wangi di Kuala Lumpur pada Sabtu.

Artikel Berkaitan:

"Insya-ALLAH saya akan berikan kerjasama sepenuhnya. Doakan semuanya dipermudahkan.

"Tidak akan berganjak walau seinci dengan pendirian kita," katanya menerusi hantaran di laman media sosial Facebook.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!