MAIWP salur bantuan Aidilfitri kepada penerima zakat, pelajar institusi pendidikan

Syed Kamarulzaman (tengah) pada temu bual bersama pengamal media pada Program Rahmah Ramadan MAIWP dan Majlis Iftar Bersama Asnaf di Masjid Wilayah Persekutuan, pada Selasa. Foto Bernama
Syed Kamarulzaman (tengah) pada temu bual bersama pengamal media pada Program Rahmah Ramadan MAIWP dan Majlis Iftar Bersama Asnaf di Masjid Wilayah Persekutuan, pada Selasa. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) menyalurkan bantuan Aidilfitri sebanyak RM500 kepada penerima zakat dan RM300 bagi pelajar di institusi pendidikan di bawah MAIWP bermula hari ini.

Pengerusi MAIWP, Syed Kamarulzaman Syed Kabeer ketika mengumumkan perkara itu berkata, jumlah keseluruhan yang diperuntukkan untuk bantuan berkenaan ialah RM17.36 juta.

"Tanpa ada komitmen para pembayar zakat, sudah tentu program seperti ini tidak dapat dilaksanakan secara optimum, maksimum dan menyeluruh.

"... semoga segala usaha ini akan dibalas dengan ganjaran pahala yang besar di sisi Allah SWT," katanya pada program Rahmah Ramadan MAIWP: Majlis Iftar Ramadan Bersama Asnaf di Masjid Wilayah Persekutuan di sini pada Selasa.

Pada majlis tersebut, Syed Kamarulzaman turut mengedarkan cenderamata biskut raya berjumlah RM60,000 kepada 400 asnaf yang hadir serta menyampaikan cek cura sumbangan kepada lima badan bukan kerajaan yang aktif melaksanakan aktiviti dakwah.

Sumbangan disampaikan kepada Pertubuhan Kebajikan Islam Kebangsaan yang menerima RM2 juta, Pertubuhan Dakwah Interaktif dan Tarbiah (RM300,000), Pertubuhan Gerakan India Muslim Malaysia (RM200,000) serta Pertubuhan Kebangsaan Orang Kerdil Malaysia dan Pertubuhan Orang Cacat Penglihatan Malaysia yang masing-masing menerima RM50,000.

Syed Kamarulzaman berkata, secara keseluruhan, MAIWP telah membelanjakan RM20.02 juta bagi menyantuni golongan asnaf dan pemberian bantuan pada hari ini. - Bernama

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Artikel Berkaitan: