MBSA junjung titah Tengku Permaisuri Selangor isu urus anjing terbiar

Laporan Sinar Harian pada Isnin.
Laporan Sinar Harian pada Isnin.
A
A
A

SHAH ALAM - Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menjunjung tinggi titah Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin yang mahukan penambahbaikan dalam pendekatan mengurus anjing berkeliaran di bandar raya itu.

Datuk Bandar, Ir Cheremi Tarman berkata, dalam hal itu, pihaknya akan memperbanyakkan lagi sesi perjumpaan dan perbincangan dengan penduduk bagi memberi kefahaman tentang kaedah MBSA menguruskan anjing-anjing liar di kawasan pentadbirannya.

Selain itu, katanya, MBSA juga akan merujuk kepada kerajaan negeri sama ada pekeliling mengenai tatacara penangkapan dan pelupusan anjing terbiar boleh diubah, khususnya menggantikan perkataan 'pelupusan' dengan perkataan yang lebih sesuai.

"Kita akan rujuk kerajaan negeri untuk bawa kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bagi diperbaiki pekeliling sedia ada, antaranya menggantikan perkataan 'pelupusan' yang maksudnya boleh memberi gambaran negatif, khususnya kepada pertubuhan bukan kerajaan dan pencinta haiwan.

"Kaedah 'pelupusan’yang diamalkan MBSA adalah dengan menghantar haiwan tersebut ke pusat kebajikan haiwan, bukannya kaedah 'Put To Sleep' kerana hanya pegawai veterinar sahaja dibenarkan melakukan prosedur tersebut," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan Tindakan Kawalan Anjing Berkeliaran Di Kawasan Pentadbiran MBSA di sini pada Selasa.

Semalam, Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin menzahirkan rasa dukacita dan kecewa berhubung perkembangan terbaru mengenai operasi penangkapan anjing berkeliaran di Selangor.

Tengku Permaisuri Norashikin bertitah baginda amat tidak bersetuju dengan pendekatan tangkap dan lupus dilakukan oleh mana-mana pihak berkuasa tempatan termasuk yang tular membabitkan MBSA.

Dalam pada itu, Cheremi berkata, operasi kawalan dan penangkapan anjing liar dibuat dengan kerjasama 24 zon Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) Shah Alam yang menyaksikan setakat dua bulan pertama tahun ini, sebanyak 133 ekor anjing liar telah ditangkap daripada 479 aduan berkaitan kacau ganggu haiwan itu yang diterima MBSA.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, anjing liar yang ditangkap akan ditempatkan sementara di Pusat Jagaan Haiwan MBSA dan sekiranya tiada tuntutan dibuat oleh pemilik dalam tempoh tujuh hari, haiwan yang dijaga, diberi makan dan diletakkan di tempat bersesuaian sepanjang berada dalam kurungan itu akan diserahkan kepada pusat kebajikan haiwan iaitu Paws Animal Welfare Society (PAWS) untuk diuruskan selanjutnya.

"Pihak MBSA sentiasa menjaga kebajikan haiwan yang ditangkap dan kita juga akan memastikan penangkapan yang dibuat dilakukan mengikut prosedur yang betul," katanya dan menambah sebanyak 1,093 ekor anjing diserah kepada PAWS tahun lepas. - Bernama

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!