Tengku Permaisuri Selangor tidak setuju tangkap lupus anjing terbiar

Tengku Permaisuri Norashikin berulang kali menekankan tidak bersetuju pendekatan tangkap dan lupus dilakukan PBT. Foto: FB Selangor Royal Office.
Tengku Permaisuri Norashikin berulang kali menekankan tidak bersetuju pendekatan tangkap dan lupus dilakukan PBT. Foto: FB Selangor Royal Office.
A
A
A

SHAH ALAM - Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin menzahirkan rasa dukacita berkenaan perkembangan operasi penangkapan anjing berkeliaran khususnya di Selangor.

Baginda bertitah, telah berulang kali menekankan tidak bersetuju dengan pendekatan tangkap dan lupus dilakukan pihak berkuasa tempatan (PBT) termasuk yang tular membabitkan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).

Sebagai Penaung Diraja bagi kempen Stray Free Selangor (SFS) di bawah Persatuan Pencegahan Kezaliman Terhadap Haiwan (SPCA) Selangor, baginda mahu PBT memperinci semula pendekatan baharu yang lebih holistik dalam menguruskan anjing-anjing terbiar.

"Saya percaya banyak lagi kaedah lain yang boleh diguna pakai untuk membendung masalah ini termasuk pemandulan (neuter).

"Saya pernah mencadangkan sebelum ini agar usaha memelihara kebajikan dan mengurangkan bilangan haiwan-haiwan terbiar ini dipergiat menerusi kempen Create Caring and Compassionate Communities (CCC).

"Kempen CCC antaranya menggariskan beberapa inisiatif utama melibatkan kerjasama di antara PBT dengan SPCA dalam mengendalikan sesi-sesi Responsible Pet Ownerships (RPO) bersama penduduk.

"Ini termasuk mendapatkan khidmat nasihat dan pemantauan daripada SPCA dan NGO sekiranya wujud keperluan untuk melupuskan haiwan-haiwan terbiar ini di atas sebab kesihatan atau sebagainya," titah baginda menerusi kenyataan dikeluarkan Istana Alam Shah pada Isnin.

Baginda turut mencadangkan, PBT boleh mewujudkan rumah perlindungan haiwan terbiar bagi setiap taman perumahan dengan kerjasama penduduk-penduduk yang sayangkan haiwan.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, PBT juga wajar mewajibkan pemaju perumahan untuk membina atau menyediakan pusat perlindungan seumpamanya.

Tengku Permaisuri Norashikin bertitah, ketika ini, SPCA Selangor Bersama Fakulti Perubatan Veterinar (FPV), Universiti Putra Malaysia, Persatuan Perubatan Veterinar Malaysia (MAVMA) dan Persatuan Veterinar Haiwan Kesayangan Malaysia (MSAVA) giat mengadakan program pemandulan kucing dan anjing.

"Sejak dimulakan pada Mac 2023, sejumlah 1,626 ekor haiwan telah dimandulkan menerusi program ini, sebagai usaha mengurangkan populasi haiwan terbiar.

"Saya juga berpendapat sudah tiba masa untuk pihak berwajib meneliti semula Pekeliling Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) Bilangan 5 Tahun 2014 mengenai Tatacara Operasi Piawaian (SOP) Penangkapan dan Pelupusan Anjing Terbiar di kawasan PBT agar lebih relevan dengan situasi semasa.

"Saya benar-benar berharap usaha-usaha untuk menjaga kebajikan haiwan-haiwan terbiar ini akan berterusan dan tidak sekadar melepas batuk di tangga sahaja," titahnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!