Pokai kerana belanja sakan sambut hari raya

Bukan sekadar mencari baju dan biskut raya, malah ada yang mengambil kesempatan tukar itu dan ini hanya kerana nak raya. Gambar hiasan 123rf
Bukan sekadar mencari baju dan biskut raya, malah ada yang mengambil kesempatan tukar itu dan ini hanya kerana nak raya. Gambar hiasan 123rf
A
A
A

BAHANG sambutan Aidilfitri kian terasa dan berbaki beberapa hari Ramadan inilah masing-masing mula membuat persiapan hari raya.

Bukan sekadar mencari baju dan biskut raya, malah ada yang mengambil kesempatan tukar itu dan ini hanya kerana nak raya.

Yalah, siapa yang tak tergoda melihat harga promosi ‘kaw-kaw’ ditawarkan peniaga yang bukan sekadar baju raya, tetapi segala-galanya. Namun ingatlah, ukur baju di badan sendiri.

Dalam keadaan ekonomi dan peningkatan kos sara hidup sekarang, mengamalkan kesederhanaan dalam membuat persiapan menyambut lebaran tidak lama lagi adalah disarankan.

Pentingnya setiap daripada kita merancang perbelanjaan serta tidak mengamalkan sikap boros berbelanja.Walaupun hari raya cuma datangnya setahun sekali, namun ia tidak bermakna kita harus berbelanja untuk segala-galanya.

Janganlah hanya mahu memenuhi tuntutan emosi dan nafsu menyambut raya sehingga sanggup menjerat leher berhutang semata-mata nak nampak gah di hari raya.

Mereka yang menerima pakai konsep ‘beli dulu bayar kemudian’ sebagai tabiat berbelanja bukan sesuatu yang sihat.

Tidak sepatutnya diamalkan budaya begini kerana akhirnya ia akan menyusahkan diri. Daripada rasa bahagia beraya, tapi pening kepala fikir nak bayar hutang selepas raya.

Artikel Berkaitan:

Ia juga hanya menambah beban hutang sedia ada dan sekiranya tidak diuruskan secara bijak dan berhemah mereka akan terus terperangkap dengan hutang.

Tidak menjadi masalah buat mereka yang mampu, selagi tidak melakukan pembaziran. Tetapi janganlah kerana tak tahan godaan iklan jualan murah sehingga tak sedar sudah membeli 10 pasang baju raya.

Raya bukanlah medan berlumbalumba menunjukkan siapa yang lebih bergaya, tak perlu membandingkan apa yang kita ada dengan apa yang orang lain ada, sebaliknya inilah ruang untuk merapatkan silaturahim dan bermaafan.

Tidak mengapa tiada baju raya, asalkan kita masih berpeluang beraya bersama keluarga. Tidak mengapa hanya mampu pakai baju raya sama asalkan kita masih boleh beraya.

Dapat merasa rendang, lemang dan ketupat pun sudah memadai jika mahu dibandingkan dengan masyarakat Islam di Palestin yang mungkin tiada istilah raya untuk mereka kali ini.

Adalah penting untuk ketahui tujuan utama sambutan hari raya itu sendiri adalah bagi meraikan kemenangan kita selepas sebulan berjaya menahan diri daripada makan dan minum dengan berpuasa.

Malah sambutan Syawal itu bukan hanya semata-mata untuk kegembiraan, bahkan lebih utama mendapat keberkatan dan keredaan ALLAH SWT.

Di sebalik kemeriahan umat Islam membuat persiapan menyambut Aidilfitri, pada sisi yang lain keluhan masyarakat terhadap peningkatan harga barangan keperluan dan lain-lain di pasaran tidak dapat kita nafikan.

Malah dalam laporan media, para peniaga juga mengakui kuasa beli rakyat sekarang adalah berkurang sekali gus memberi kesan kepada pulangan kepada peniaga.

Sebenarnya, ramai lagi yang tidak membeli baju raya tahun ini yang rata-ratanya merupakan golongan yang sudah berkeluarga dan memiliki anak-anak masih kecil.

Yalah, bukan sedikit perbelanjaan yang perlu diperuntukkan, apatah pula sekarang harga baju raya banyaknya tak kurang RM100 sepasang. Tersalah buat percaturan sudahnya ‘melingkup’ jadinya.

Itu belum lagi kos untuk membeli barangan keperluan buat memasak hidangan raya untuk sesi keluarga yang semestinya tidak kurang daripada RM100.

Hakikatnya, kebanyakan pengguna terpaksa berjimat sekarang. Namun apabila ditekankan soal berjimat cermat, janganlah sampai tidak mahu berbelanja langsung sehingga mencatu barangan keperluan.

Apa-apa pun berpada-padalah dan jangan nanti pula ‘pokai’ kerana belanja sakan sambut hari raya. Pilihan di tangan kita, mahu menjadi pengguna bijak atau terdesak.

* Syamilah Zulkifli ialah Ketua Wartawan Negeri Sembilan dan Melaka