Tak perlu malu pakai baju Melayu lama sambut hari raya

Gambar hiasan. Foto123RF
Gambar hiasan. Foto123RF
A
A
A

KELMARIN Merak Jalanan dapat meluangkan masa ke Jalan TAR di ibu negara untuk beli keperluan raya.

Memang pada awalnya nak mencari sepasang baju Melayu untuk dipakai pada hari raya pertama nanti.

Merak Jalanan masuk dari satu kedai ke satu kedai, teruja melihat pelbagai jenis dan warna baju Melayu. Cantik dan menarik pada pandangan mata.

Cuma yang tak menariknya, harganya di luar bajet Merak Jalanan, sehingga ada yang mencecah RM299 sepasang.

Merak Jalanan cuba mencari baju Melayu yang murah sedikit. Memang ada yang jual sekitar RM120 hingga RM150, tapi kualitinya tidak kena dengan selera. Kalau harga di bawah RM120 dapatlah baju kurta sahaja.

Merak Jalanan terfikir, bagaimana kalau satu keluarga yang ada lima orang anak. Kalau ikut congak kasar Merak Jalanan, sekurang-kurangnya perlu ada RM1,500 dalam tangan untuk keperluan sepasang baju Melayu, samping, songkok, atau baju kurung dan tudung bagi perempuan.

Tidak hairanlah Merak Jalanan tengok kali ini ramai yang berbelanja secara berhemah.

Suasana di kedai pakaian pun tidak semeriah seperti raya tahun-tahun lepas. Kebanyakan yang datang hanya mencuci mata.

Artikel Berkaitan:

Begitu juga dengan Merak Jalanan. Lebih dua jam pusing-pusing di tempat membeli-belah tersebut, Merak Jalanan akhirnya pulang dengan tangan kosong, langsung tak membeli.

Merak Jalanan buat keputusan untuk memakai sahaja baju Melayu lama yang sudah ada di dalam almari rumah untuk raya nanti.

Baju pun masih elok dan tersimpan rapi. Wang yang ada lebih baik digunakan untuk perkara lain yang lebih penting.

Lagi pun dalam suasana ekonomi tak menentu ini, orang tak peduli pun sama ada kita pakai baju baharu atau lama.

Tak perlu malu sebab tetap boleh sambut hari raya dengan rasa gembira dan senang hati.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28