PADU: 17.65 juta keseluruhan profil warganegara dikemas kini

Rafizi
Rafizi
A
A
A

SHAH ALAM - Sebanyak 17.65 juta bersamaan 58.7 peratus keseluruhan profil rakyat, termasuk ahli isi rumah di bawah 18 tahun yang berjaya dikemas kini dalam sistem Pangkalan Data Utama (PADU).

Ia termasuk 11.55 juta iaitu 52.6 peratus warganegara berumur 18 tahun ke atas yang telah berjaya mendaftar dan mengemas kini profil diri dalam sistem berkenaan.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, pihaknya berterima kasih kepada rakyat yang mengambil inisiatif mendaftar PADU, termasuk pasukan pembangunan PADU, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), Jabatan Digital Negara, Kementerian Komunikasi serta agensi-agensi lain atas usaha menjayakan pelaksanaan sistem itu.

“Komitmen yang tinggi dan tidak berbelah bahagi telah ditunjukkan oleh pasukan PADU sejak hari pertama pendaftaran dibuka hingga ditutup pada 11.59 malam, 31 Mac 2024.

“Antara pecahan peratus pendaftaran mengikut negeri, Johor (48.4); Kedah (58.9); Kelantan (65.2); Melaka (53); Negeri Sembilan (56.2); Pahang (59.7); Pulau Pinang (52.9); Perak (60.3) dan Perlis (66.9).

“Selangor (44.5); Terengganu (62.7); Sabah (52.8); Sarawak (46.7); Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (47.6); Wilayah Persekutuan Labuan (55.2); Wilayah Persekutuan Putrajaya (56.5),” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Januari lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melancarkan PADU iaitu sistem yang mengandungi profil individu dan isi rumah meliputi warganegara serta pemastautin tetap di negara ini.

Objektif PADU ialah sebagai penyediaan pangkalan data utama negara yang selamat, komprehensif dan hampir masa sebenar, analitik data lebih tepat mampu dihasilkan serta membolehkan pelaksanaan dasar secara bersasar bagi mengimbangi kedudukan fiskal.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Rafizi yang juga ahli Parlimen Pandan memaklumkan, pihaknya juga bakal membentangkan perancangan penyasaran semula subsidi kepada jemaah menteri pada April ini.

Tambah beliau, sebarang pengumuman berkenaan hal terbabit diumumkan oleh kerajaan pada masa akan datang.

“Kepada warganegara yang tidak berjaya mendaftar dan mengemas kini profil di PADU, data pentadbiran sedia ada adalah mencukupi serta akan digunakan untuk kerajaan menentukan kelayakan individu bagi tujuan penyasaran semula subsidi.

“Sekiranya ada keperluan, Kementerian Ekonomi akan umumkan pembukaan semula PADU untuk tempoh yang singkat bagi pendaftaran dan pengemaskinian setelah kerajaan membuat keputusan bentuk serta mekanisme subsidi bersasar,” ujarnya lagi.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28