Tunggakan bil elektrik MAPS hampir RM4 juta

Ahmad Faizal (dua dari kanan) pada sidang media selepas majlis pelancaran Jualan Rumah Perakku Fasa 1A Projek Raia Perdana di Gopeng hari ini.
Ahmad Faizal (dua dari kanan) pada sidang media selepas majlis pelancaran Jualan Rumah Perakku Fasa 1A Projek Raia Perdana di Gopeng hari ini.
A
A
A

GOPENG - Taman Tema Animasi Studio (MAPS) berdepan masalah tunggakan bil elektrik hampir RM4 juta hingga menyebabkan Tenaga Nasional Berhad (TNB) melakukan pemotongan bekalan elektrik, baru-baru ini.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, tunggakan itu membabitkan bayaran bil yang tidak dijelaskan sejak pentadbiran terdahulu iaitu sebelum MAPS diambil alih pengurusan baharu Animation Theme Park (ATP) Sdn Bhd.

"Tindakan diambil TNB itu berikutan kebimbangan mereka apabila pentadbiran MAPS kini di bawah kendalian pihak bank, didapati taman tema ini ada masalah tidak membuat bayaran bil elektrik kerana itu mereka segera ambil tindakan sebegitu.

"Setelah adakan berbincang, bekalan elektrik telahpun disambung semula dan MAPS dapat beroperasi seperti biasa," katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas isu gangguan bekalan elektrik di MAPS pada musim cuti sekolah lalu hingga menyebabkan ia ditutup selama beberapa hari.

MAPS sebelum ini gagal membayar balik bayaran prinsipal berjumlah RM25.7 juta kepada Affin Hwang Investment Bank Bhd (Affin Investment).

Status yang dimuat naik di laman rasmi Facebook MAPS, bulan lalu.
Status yang dimuat naik di laman rasmi Facebook MAPS, bulan lalu.

Bulan lalu, Affin Investment dilaporkan telah melantik Datuk Duar Tuan Kiat dari Messrs Ernst & Young sebagai penerima dan pengurus hartanah ATP yang juga pengendali MAPS.

Artikel Berkaitan:

Susulan itu, pengurusan ATP digantung serta-merta dengan semua urusan berkaitan kewangan dan operasi diletakkan di bawah tanggungjawab penerima dan pengurus hartanah iaitu Duar Tuan Kiat.

Mengulas lanjut, Ahmad Faizal berkata, pendapatan yang dijana daripada pengoperasian MAPS sebelum ini tidak mampu menampung semua jenis bayaran tertunggak termasuklah bil elektrik.

"Selepas diambil alih, kita dapati ramai pengunjung dan pihak-pihak berkaitan mula berikan perniagaan kepada MAPS.

"Kita telah mampu mengumpul dana untuk meneruskan dan menyelesaikan masalah bayaran 'overhead' seperti bil elektrik, air, gaji pekerja dan sebagainya," katanya.

Beliau berkata, kerajaan negeri kini dalam peringkat mengadakan perbincangan dengan pelbagai pihak bagi menyelesaikan kerumitan yang berlaku.

"Perkara itu saya tak boleh umumkan lagi setakat ini, apapun usaha diteruskan untuk menyelamatkan MAPS," katanya.

Terdahulu, Ahmad Faizal ditemui pada majlis pelancaran Jualan Rumah Perakku Fasa 1A Projek Raia Perdana di Gopeng yang merupakan usahasama antara Perbadanan Menteri Besar Perak (MB Inc) dan M K Land Holdings Berhad.