Anak harapan keluarga kini terlantar lumpuh

Azizah sentiasa berada di sisi anaknya Azirul yang terlantar di rumah mereka di Kampung Parit Terus Sanglang, Pontian.
Azizah sentiasa berada di sisi anaknya Azirul yang terlantar di rumah mereka di Kampung Parit Terus Sanglang, Pontian.
A
A
A

PONTIAN - Luluh hati seorang ibu apabila anak sulung yang diharapkan untuk mencari rezeki buat keluarga hanya mampu terlantar di atas katil sejak 10 tahun lalu selepas lumpuh akibat terlibat kemalangan.

Ibunya, Nor Azizah Mohamad, 53, berkata, dia sedih melihat keadaan Mohd Azirul Ismail Khairul, 30, kerana sebelum terlibat kejadian itu, dia merupakan seorang yang aktif dan sering membantu ayahnya ke laut.

"Azirul terbabit kemalangan motosikal selepas pulang membantu ayahnya, Khairul Enjah, 51 menangkap kerang. Ketika itu, dia berusia 20 tahun dan merupakan lepasan GiatMara bagi kursus automotif.

"Akibat nahas itu, Azirul lumpuh dan besi dipasang pada tulang leher. Kaki kanan pula terpaksa dipotong sehingga paras lutut kerana luka yang tidak sembuh selepas dua tahun kemalangan," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Parit Terus, Sanglang di sini, pada Isnin.

Jelasnya, Azirul yang terlantar dan tidak dapat menggerakkan kedua-dua belah tangannya akan mengalami sesak nafas sekiranya keadaan cuaca terlalu panas.

Kasih sayang Nor Azizah terhadap Azirul tidak pernah luntur meskipun anaknya itu tidak mampu menggerakkan anggota badan.
Kasih sayang Nor Azizah terhadap Azirul tidak pernah luntur meskipun anaknya itu tidak mampu menggerakkan anggota badan.

"Dia tak boleh panas, jika panas akan sesak panas. Pernah berlaku dia sesak nafas kerana terlalu panas, namun sempat dibawa ke hospital.

"Disebabkan itu sepanjang masa Azirul perlukan kipas angin. Ada tiga kipas angin di katil Azirul. Selain itu, saya juga menggunakan ketulan air batu bagi menyejukkan badannya," katanya.

Artikel Berkaitan:

Nor Azizah berkata, dia reda dengan takdir Ilahi dan tidak pernah berhenti berdoa agar anaknya itu kembali sembuh seperti sedia kala.

"Saya tidak boleh tinggalkan Azirul kerana dia perlukan saya untuk menyuap makanan, berikan susu, ubat dan salin lampin pakai buang yang digunakan setiap hari.

"Alhamdulillah, empat anak perempuan berusia 20 hingga 26 tahun banyak membantu menguruskan abang mereka. Selagi bernyawa saya akan terus jaga Azirul," katanya.

Mengenai bantuan, Azirul menerima bantuan bulanan orang kurang upaya (OKU) Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) RM500 dan Baitulmal sebanyak RM500.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan bantuan menerusi akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) Nor Azizah di 011-2211000085448 atau menghubungi Mohd Azizul Ismail di talian 019-7966864.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!