687 peserta Felcra Sri Makmur tuntut bayaran BTS RM6.4 juta

Mohammad Sohaimi (empat dari kanan) mendengar keluh-kesah peserta Felcra Sri Makmur yang tertekan kerana gagal menerima bayaran BTS daripada sebuah syarikat luar yang menjalankan urusan pembelian.
Mohammad Sohaimi (empat dari kanan) mendengar keluh-kesah peserta Felcra Sri Makmur yang tertekan kerana gagal menerima bayaran BTS daripada sebuah syarikat luar yang menjalankan urusan pembelian.
A
A
A

PEKAN - [DIKEMAS KINI] Seramai 687 peserta Felcra Sri Makmur merayu agar pihak bertanggungjawab segera membuat pembayaran buah tandan segar (BTS) yang dianggarkan RM6.4 juta.

Mereka mendakwa jumlah tunggakan sejak April hingga Disember tahun lalu dan sekiranya gagal dilunaskan kemungkinan nilai berkenaan akan mencecah RM8 juta sehingga Februari depan.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Felcra Sri Makmur, Umar Kassim, 68, berkata, masalah itu membelenggu mereka sejak urusan pembelian BTS diambil alih oleh syarikat luar berbanding sebelum ini diuruskan Felcra.

Dakwanya, pihak Ahli Jawatankuasa Kemajuan Projek (AJKKP) peringkat tiga bersetuju untuk buah sawit dijual kepada syarikat luar selepas syarikat terbabit menawarkan pembelian kadar perahan minyak (OER) yang lebih tinggi berbanding Felcra iaitu 19.2 peratus pada Februari tahun lalu.

“Perbincangan dan persetujuan itu hanya antara Felcra dan AJKKP Peringkat Tiga sahaja, tetapi ia kemudiannya diikuti oleh AJKKP Peringkat Satu dan Dua serta Rancangan Tanah Kelompok (RTK) Bukit Sijau tanpa sebarang mesyuarat diadakan.

“Kalau ikutkan, bayaran BTS sepatutnya dibuat setiap empat bulan, namun sehingga kini kami masih belum menerima sebarang bayaran. Kami difahamkan hanya 40 peratus sahaja bayaran dibuat dari keseluruhan jumlah sekitar RM10 juta.

“Itupun setelah disemak, kami dapati hanya dua bulan pertama sahaja OER dibayar pada kadar 19.1 peratus. Kemudiannya ia dibayar pada kadar 17 peratus lebih rendah dari yang dibayar pihak Felcra sebelum ini,” katanya dengan nada yang kecewa.

Bercerita lanjut, Umar berkata, syarikat tersebut juga didapati tidak memenuhi syarat yang dikenakan pihak AJKKP sebelum ini.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, syarikat itu juga didapati tidak memiliki lesen dari Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) setelah semakan dibuat.

“Kami ada mengenakan syarat antaranya, syarikat terlibat perlu memiliki lesen MPOB. Persetujuan itu dibuat sebelum menyerahkan urusan jual beli buah sawit kepada syarikat luar,” jelas beliau lagi.

<

Mohammad Sohaimi
Mohammad Sohaimi

Peserta Felcra Peringkat Tiga, Mohammad Sohaimi Mahussin, 66, berkata, beberapa siri perbincangan antara pihak AJKKP dari seluruh peringkat dan RTK Bukit Sijau dengan pihak Felcra dan syarikat terlibat telah diadakan bagi mendapatkan satu penyelesaian.

Ujarnya, bagaimanapun sehingga kini masalah tersebut masih belum selesai.

Mohammad Sohaimi memberitahu, masalah timbul selepas berlaku pertukaran jual beli BTS dari pihak Felcra kepada pembeli luar.

"Jadi, kami mohon agar urusan jual beli kembali semula ke Felcra. Kalau betul syarikat itu ikhlas hendak bantu peserta, bayarlah BTS kerana kami mengharapkan hasil dari jualan buah sawit.

"Kami juga berharap pihak Felcra mengambil tindakan. Perkara ini tergantung kerana tiada hitam putih.

"Kalau tiada bertindak dan gagal diselesaikan, kami akan bawa perkara ini kepada pengetahuan Perdana Menteri,” katanya.

Ibrahim
Ibrahim

Seorang lagi wakil AJKKP Peringkat Dua, Ibrahim Uda, 80, pula berkata mereka berharap dan bergantung sepenuhnya kepada kepada bayaran BTS terbabit.

Katanya, ini kerana kebanyakan peserta yang terlibat terdiri dari kalangan warga emas.

“bagi peserta di Peringkat Satu dan Dua, kami ada menerima bantuan sara hidup sebanyak RM800 setiap bulan yang ditolak dari BTS terbabit.

“Jika tiada bayaran dibuat, kami bimbang sekiranya bantuan tersebut akan terhenti sehingga Februari ini," katanya yang tidak tahu bagaimana hendak menyara kehidupan seharian kerana sudah tidak boleh melakukan kerja luar.

Siti Rahimah
Siti Rahimah

Bagi Siti Rahmah Ali, 60, pula mengakui kehidupannya bergantung sepenuhnya kepada bayaran BTS yang diterima setiap empat bulan termasuk bayaran interim yang dibuat setiap awal tahun.

Katanya bayaran itu digunakan bagi menyara diri dan anak bongsunya yang masih belajar di Shah Alam.

“Saya ada empat anak dan yang bongsu masih belajar. Sejak tidak dapat duit BTS ini, anak-anak yang sudah bekerja yang banyak membantu termasuk perbelanjaan untuk adik mereka.

“Bukan saya sahaja ibu tunggal yang terjejas. Masih ramai lagi yang terkesan. Mereka terpaksa cari inisiatif lain seperti berniaga makanan untuk mencari sumber pendapatan," katanya yang berharap masalah ini segera diselesaikan.

Habis#