SSI Kedah disaman RM310 juta didakwa langgar perjanjian

Muhamad Annas (tengah) menunjukkan dokumen writ tuntutan oleh syarikat mereka kepada tiga defendan termasuk SSI Kedah ketika sidang media pada Ahad.
Muhamad Annas (tengah) menunjukkan dokumen writ tuntutan oleh syarikat mereka kepada tiga defendan termasuk SSI Kedah ketika sidang media pada Ahad.
A
A
A

ALOR SETAR - Perbadanan Setiausaha Kerajaan Negeri (SSI) Kedah disaman sebanyak RM310 juta oleh Kumpulan Aras Niaga Berhad selepas didakwa melanggar perjanjian pajakan tanah yang ditandatangani pada 2020.

Peguam mewakili syarikat berkenaan selaku plaintif, Firhat Muhammad Fikri berkata, tiga pihak dinamakan sebagai defendan dalam writ tuntutan berkenaan iaitu SSI Kedah, Pengurus Besar SSI Kedah dan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Kedah.

Menurutnya, tuntutan ke atas semua defendan difailkan pada 25 Mac lalu, selepas SSI mengarahkan Kumpulan Aras Niaga Berhad menyerahkan kembali kepada SSI tanah seluas 255 hektar di Mukim Semeling, Kuala Muda yang dipajak secara sah sebelum ini.

"Berikutan itu, plaintif menuntut ganti rugi akibat mungkir janji terhadap perjanjian tambahan sebanyak RM300 juta dan ganti rugi atas kerja dibuat plaintif dalam melaksanakan projek di tapak berkenaan sebanyak RM10 juta," katanya ketika sidang media di sini pada Ahad.

Firhat berkata, mereka turut meminta satu perintah spesifik untuk melaksanakan perjanjian tambahan tersebut oleh pihak berkenaan dan mengabsahkan niat dan tujuan perjanjian tersebut.

"Selain itu, kami meminta mahkamah mengabsahkan bahawa projek tersebut adalah termasuk di bawah naungan dan lindungan maksud 'Pertanian' di dalam Kanun Tanah Negara," katanya.

Pada sidang media sama, Pengasas dan Pengerusi Eksekutif Kumpulan Aras Niaga Berhad, Datuk Muhamad Annas Mohamad Anuar berkata, pihaknya mempunyai perancangan kerjasama bersama Permodalan Kedah Berhad (PKB) bagi membangunkan lombong bijih besi di tapak berkenaan.

Menurutnya, syarikat telah mengeluarkan sejumlah modal bagi mengawal tapak berkenaan termasuk melakukan kerja kajian di kawasan berkenaan sebelum membentangkan potensi kegiatan perlombongan bijih besi yang mampu menjana pendapatan kepada negeri.

Artikel Berkaitan:

"Apa yang dikesalkan selepas pembentangan pada Mac 2021, SSI Kedah tidak lagi melayan permohonan kami untuk mendapatkan lesen melombong dan membiarkan status projek ini tergantung, malah dalam pertemuan bersama Pengurus Besar SSI Kedah, kami diminta menyerahkan kembali tanah," katanya.

Muhamad Annas berkata, mengikut perjanjian mereka mendapat hak pajakan 45 tahun di tapak berkenaan dan mengikut segala syarat ditetapkan bagi memulakan pembangunan lombong bijih besi sehingga peringkat perjanjian tambahan.

"Namun akhirnya, kami tidak diberikan lesen melombong dan ia jelas merugikan pihak syarikat," katanya.

Sementara itu, SUK Kedah, Datuk Seri Norizan Khazali berkata, pihaknya mengesahkan menerima notis berkaitan tuntutan saman berkenaan dan sedang meneliti tuntutan yang dibuat pihak berkenaan.

Katanya, kes berkenaan adalah perjanjian lama yang dibuat pentadbiran terdahulu dan pihaknya akan merujuk kepada Penasihat Undang-Undang Negeri bagi menentukan sebarang tindakan lanjut.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28