Selangor bawa mentaliti menang ke Alor Setar

Selangor berpeluang mencerahkan laluan ke pentas Asia musim depan sekiranya berjaya menewaskan Kedah dalam aksi liga di Alor Setar pada Sabtu. - Foto Bernama
Selangor berpeluang mencerahkan laluan ke pentas Asia musim depan sekiranya berjaya menewaskan Kedah dalam aksi liga di Alor Setar pada Sabtu. - Foto Bernama
A
A
A

KEMENANGAN ke atas Kedah Darul Aman (KDA) FC dalam aksi Liga Super di Stadium Darul Aman, Alor Setar pada Sabtu akan menjamin Selangor FC menamatkan saingan Liga Super sebagai naib juara sekali gus menamatkan kemarau tujuh tahun untuk beraksi di peringkat Asia.

Pengendali Selangor FC, Tan Cheng Hoe berkata, setiap pemain Gergasi Merah menyedari peluang untuk mara ke Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2) musim depan dan pastinya akan turun dengan kekuatan penuh untuk menundukkan KDA dalam aksi yang dijangka sukar itu.

Menurutnya, persiapan pasukan juga berada pada tahap terbaik dan tiada pemain yang berdepan kecederaan atau digantung perlawanan.

“Kami mengharapkan tahun ini dapat layak ke Asia, namun kita ada satu lagi halangan yang besar (iaitu Kedah). Saya harapkan pemain dapat tunjuk satu prestasi yang baik ketika menentang Kedah.

“Jika pemain dapat beri persembahan yang bagus, maka Selangor akan dapat keputusan positif untuk mara ke Asia dan menamatkan saingan Liga Super di kedudukan kedua," katanya kepada Sukan Sinar pada Jumaat.

Selangor yang kini mengumpul 55 mata berpeluang untuk mengakhiri saingan liga sebagai naib juara dan layak ke Asia seandainya berjaya menewaskan Kedah.

Namun, sekiranya tewas, Kedah kembali membuka peluang untuk skuad dari utara itu layak ke Asia dan penentuan slot tersebut akan tertumpu kepada perlawanan terakhir dengan Selangor akan menentang PDRM FC manakala Kedah pula akan membuat perhitungan dengan Sabah FC.

Untuk rekod, kali terakhir Selangor beraksi di pentas Asia pada Piala AFC 2016 apabila mereka terkandas di peringkat kumpulan.

Artikel Berkaitan:

Bagi KDA FC pula, mereka masih segar beraksi di pentas Asia pada Piala AFC 2022 dan berjaya mara sehingga ke separuh akhir Zon ASEAN sebelum tumbang 1-2 di tangan wakil Indonesia, PSM Makassar.

Dalam pada itu, Cheng Hoe turut mengakui aura Stadium Darul Aman akan menjadi cabaran besar buat pasukannya selain sentuhan Nafuzi Zain yang berjaya memacu KDA FC.

"Setiap kali mana-mana pasukan yang berkunjung ke sana sukar untuk cari kemenangan dibantu sokongan padu penyokong mereka.

"Namun, kami tetap kena ada keyakinan dan dapatkan satu keputusan yang positif. Dalam bola sepak di atas kertas tiada yang dapat menjamin mana-mana pasukan dapat tiga mata.

"Jadi, kita kena ada satu mentaliti positif untuk dapat keputusan yang baik," katanya.