Tangkap lelaki Israel: KDN diminta jawab segala persoalan

Laporan Sinar Harian (kiri) dan Afnan Hamimi
Laporan Sinar Harian (kiri) dan Afnan Hamimi
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Dalam Negeri (KDN) diminta memberikan penjelasan berhubung kemungkinan sistem imigresen boleh dibolosi seorang lelaki warga Israel tanpa dikesan lebih awal.

Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN), Afnan Hamimi Taib Azamudden berkata, ia kerana kerajaan tidak pernah mengiktiraf Israel bahkan melarang kemasukan rakyatnya ke negara ini.

Menurut beliau, KDN juga perlu menjelaskan bagaimana boleh berlaku kelompongan sehinggakan individu tersebut berjaya melakukan transaksi pembelian enam pucuk senjata api dan 200 peluru dengan begitu mudah.

“Isu yang berlaku hari ini sepatutnya menjadi isyarat kepada KDN dan kementerian lain agar memandang serius isu kedaulatan, keselamatan serta kawalan sempadan.

“Pemuda PN menggesa agar satu siasatan menyeluruh dilaksanakan oleh KDN bagi menyiasat punca di sebalik terjadinya pembolosan ini, langkah (keselamatan) wajar diambil untuk mengelakkan isu sama berulang lagi.

“Satu pelan strategik perlu dilaksanakan bagi meningkatkan keupayaan agensi kerajaan dalam menangkis segala ancaman luar yang berterusan menggugat keselamatan dan kedaulatan negara,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Sabtu.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan seorang lelaki warga Israel berusia 36 tahun ditahan di sebuah bilik hotel di Jalan Ampang pada Rabu dan dipercayai memasuki Malaysia menggunakan pasport negara Perancis.

Pemeriksaan di bilik hotel tersebut menemukan enam pucuk senjata api jenis Glock 19 Marine, Glock 17 Gen 4, Smith and Wesson, Sih Sauer dan Stoeger berserta 200 peluru yang diletakkan di dalam beg miliknya.

Artikel Berkaitan:

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain memaklumkan, siasatan awal mendapati suspek yang turut memiliki pasport Israel datang ke Malaysia dengan tujuan mahu membunuh rakan senegaranya susulan konflik keluarga.

Sementara itu, Afnan Hamimi yang merupakan Ahli Parlimen Alor Setar turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada barisan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) di atas kejayaan menahan suspek terbabit kerana ia bukan kali pertama Malaysia diceroboh anasir luar.

“Negara pernah dikejutkan dengan tiga kes berprofil tinggi iaitu pembunuhan pensyarah Universiti Kuala Lumpur British Malaysian Institute (UniKL-BMI), Dr Fadi M R al-Batsh Fatma yang didalangi unit perisikan Israel, Mossad pada 2018.

“Kes pembunuhan abang kepada pemimpin Korea Utara iaitu Kim Jong Nam, disyaki didalangi anasir dari negara luar dan penahanan 11 warganegara Malaysia yang dikatakan direkrut Mossad bagi menjalankan kes penculikan warga Palestin,” ujar beliau lagi.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28