Risikan, kesan pergerakan Israel di Malaysia perlu dipertingkat

Mohd Azmi
Mohd Azmi
A
A
A

KUALA LUMPUR - Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) menyeru pihak berkuasa meningkatkan risikan dan mengesan sebarang pergerakan operasi Israel terhadap Malaysia ekoran penahanan seorang warga Israel di sini, Rabu lepas.

Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, Malaysia menjadi perhatian Israel kerana pendirian tegas negara terhadap Israel.

"Malaysia tertonjol antara negara yang tegas mengecam Israel dan menggerakkan kempen antarabangsa menyokong Palestin.

"Rakyat Malaysia juga amat aktif menentang Israel termasuk melancarkan boikot ke atas barangan Israel," katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.

Semalam, Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain mengesahkan penahanan seorang lelaki warga Israel bersama enam pucuk pistol dan 200 butir peluru di sebuah hotel di Jalan Ampang di sini.

Razarudin berkata, lelaki berusia 36 tahun itu dipercayai memasuki Malaysia menerusi Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada 12 Mac lepas menggunakan pasport Perancis.

Mohd Azmi berkata, kes berkenaan amat serius dan Mapim menyokong agar tahap kawalan keselamatan terhadap golongan kenamaan termasuk ke atas Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ditingkatkan.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Artikel Berkaitan: