Polis tiada kuasa halang perhimpunan aman - PPMM

Laporan Sinar Harian pada Sabtu berhubung larangan mengadakan Himpunan Gerakan Anti Rumah Anutan Haram yang dijadualkan berlangsung pada jam 8 malam pada Sabtu di Ibu kota.
Laporan Sinar Harian pada Sabtu berhubung larangan mengadakan Himpunan Gerakan Anti Rumah Anutan Haram yang dijadualkan berlangsung pada jam 8 malam pada Sabtu di Ibu kota.
A
A
A

SHAH ALAM - Polis tidak mempunyai kuasa untuk mengharamkan atau menghalang ataupun tidak membenarkan perhimpunan aman selagi ia dijalankan secara aman dan tanpa senjata berdasarkan undang-undang khususnya Perlembagaan Persekutuan.

Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM), Muhamad Hisham Marzuki berkata, hak untuk berhimpun secara aman adalah hak asasi yang dijamin kepada setiap warganegara.

Menurutnya, hak tersebut dinyatakan secara jelas di bawah Perkara 10(1)(b) Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan setiap warganegara berhak untuk berhimpun secara aman dan tanpa senjata.

"Hak ini adalah hak asasi yang hanya boleh dikenakan sekatan yang sah, munasabah dan selaras dengan Perlembagaan.

"Dalam hal ini, Mahkamah Persekutuan dalam kes Amir Hariri Abd Hadi v Pendakwa Raya1 telah menegaskan dengan jelas bahawa hak berhimpun secara aman bukan suatu keistimewaan yang tertakluk kepada budi bicara pihak berkuasa, sebaliknya merupakan hak perlembagaan yang wajib dihormati dan dilindung," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Terdahulu, polis tidak membenarkan penganjuran Himpunan Gerakan Anti Rumah Anutan Haram (GARAH) yang dijadualkan berlangsung di hadapan Kompleks Membeli Belah Sogo pada Sabtu atas faktor keselamatan awam.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, keputusan itu dibuat selepas pihak polis menjalankan risikan keselamatan serta meneliti maklum balas daripada pelbagai pihak berkaitan

Muhamad Hisham menambah, Mahkamah Persekutuan juga telah memutuskan bahawa peruntukan undang-undang yang bersifat menghukum atau menjenayahkan kegagalan memberi notis perhimpunan adalah tidak berperlembagaan.

"Keputusan ini menegaskan bahawa keperluan notis di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012 tidak boleh ditafsir sebagai kuasa untuk melarang perhimpunan, apatah lagi menjadikannya tidak sah secara automatik," ujarnya lagi.

Artikel Berkaitan:

Tambah beliau, alasan kononnya terdapat bantahan daripada para peniaga di sekitar kawasan perhimpunan juga bukanlah alasan yang sah untuk melarang sesuatu perhimpunan aman.

Muhamad Hisham memberitahu, satu kes pernah difailkan oleh Persatuan Peniaga Bazar Masjid India pada 2016 untuk menghalang perhimpunan yang hendak diadakan di sana, namun telah ditolak oleh Mahkamah Tinggi.

Justeru, beliau menegaskan, sebarang kenyataan bahawa sesuatu perhimpunan aman adalah 'tidak dibenarkan' adalah bercanggah dengan prinsip undang-undang perlembagaan dan keputusan Mahkamah Persekutuan.

"PPMM menegaskan bahawa peranan dan tanggungjawab polis bukanlah untuk menghalang perhimpunan aman, tetapi untuk memudahcara pelaksanaan hak berhimpun secara aman, menjaga keselamatan awam dan peserta perhimpunan dan memastikan ketenteraman awam tanpa menafikan hak perlembagaan rakyat," kongsinya lagi.

Beliau berpandangan, pendekatan yang bersifat melarang, menakut-nakutkan atau mengugut penganjur dan peserta perhimpunan aman bukan sahaja bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan, malah merosakkan prinsip kedaulatan undang-undang dan demokrasi berperlembagaan.

Beliau turut menggesa pihak polis supaya mematuhi sepenuhnya kehendak Perlembagaan Persekutuan dan keputusan Mahkamah Persekutuan serta mengambil pendekatan yang selari dengan prinsip hak asasi manusia dan tadbir urus demokratik.

"Hak berhimpun secara aman bukan ancaman kepada undang-undang dan ketenteraman awam. Sebaliknya, hak tersebut adalah lambang kematangan demokrasi dan penghormatan terhadap Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang tertinggi negara," tegasnya.

Ringkasan AI

  • Polis tidak mempunyai kuasa untuk mengharamkan perhimpunan aman
  • Hak untuk berhimpun secara aman adalah hak asasi yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan
  • Mahkamah Persekutuan menyatakan hak berhimpun secara aman adalah hak perlembagaan yang wajib dihormati
  • Peruntukan yang menghukum kegagalan memberi notis perhimpunan dianggap tidak berperlembagaan
  • PPMM menekankan peranan polis adalah memudahcara pelaksanaan hak berhimpun secara aman, bukan menghalangnya

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!