Bekal senjata kepada lelaki Israel, suami isteri direman seminggu

Senjata api yang dirampas polis susulan penahanan seorang lelaki dipercayai warga Israel di sebuah hotel di Jalan Ampang, Kuala Lumpur pada Rabu.
Senjata api yang dirampas polis susulan penahanan seorang lelaki dipercayai warga Israel di sebuah hotel di Jalan Ampang, Kuala Lumpur pada Rabu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pasangan suami isteri yang ditahan di Kuala Selangor pada Jumaat, direman tujuh hari untuk siasatan kerana disyaki membekalkan senjata api kepada lelaki warga Israel.

Reman kedua-dua suspek warga tempatan berusia 42 dan 40 tahun itu bermula Sabtu bagi tindakan di bawah Akta Senjata 1960.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain ketika dihubungi mengesahkan reman terbabit.

"Pasangan itu direman tujuh hari dan siasatan masih dijalankan pihak polis," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Sabtu.

Sebelum itu, pasangan itu telah ditahan di bazar Ramadan di Kuala Selangor, kira-kira jam 7.30 malam pada Jumaat.

Susulan itu, berpandukan maklumat pasangan berkenaan, polis menyerbu kediaman mereka di Kuala Selangor sebelum menemui sepucuk pistol dalam kereta jenis Honda Jazz.

Melalui soal siasat, suspek mendakwa telah membeli senjata di Thailand sebelum diserahkan kepada seorang lelaki warga asing dipercayai rakyat Israel.

Pada Jumaat, Razarudin mendedahkan penahanan suspek lelaki dipercayai warga Israel berusia 36 tahun di sebuah hotel di Jalan Ampang pada Rabu.

Artikel Berkaitan:

Polis turut menemui enam pistol termasuk SIG Sauer, Smith dan Wesson serta Glock selain 200 butir peluru selain dua pasport iaitu pasport Perancis yang digunakannya untuk masuk ke Malaysia dari Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada 12 Mac lalu serta satu pasport Israel.

Berdasarkan soal siasat yang dilakukan, suspek mendakwa datang ke negara ini untuk mencari seorang individu yang juga rakyat negaranya untuk dibunuh kononnya berkaitan isu keluarga, namun polis tidak mempercayai dakwaan itu.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28