Mekanik putus kaki: 'Aircond' kereta meletup kerana kebocoran gas

Mekanik putus kaki akibat letupan 'aircond' kereta kini sedang menerima rawatan di ICU, Hospital Tanah Merah.
Mekanik putus kaki akibat letupan 'aircond' kereta kini sedang menerima rawatan di ICU, Hospital Tanah Merah.
A
A
A

TANAH MERAH - Polis mendedahkan letupan yang berlaku sehingga menyebabkan kaki kanan seorang mekanik putus di Kampung Air Merbo Dalam di sini pada Jumaat dipercayai berpunca daripada kebocoran gas pendingin hawa kereta dibaiki mangsa.

Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Asisten Komisioner Mohd Haki Hasbullah berkata, siasatan awal mendapati pada Jumaat kira-kira jam 8 malam pihaknya mendapat maklumat daripada orang awam berkenaan satu letupan di sebuah bengkel kereta.

"Mangsa, Mohd Sharul Nizam Rahim, 31, bekerja sebagai mekanik dan berasal dari Kampung Air Merbo, Jedok.

"Semasa kejadian mangsa dipercayai sedang bekerja seorang diri di bengkel tersebut," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Ujar beliau, akibat letupan itu, mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kaki kanan dan telah dikejarkan ke Hospital Tanah Merah untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Tambahnya, mekanik terbabit kini sedang menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Tanah Merah dan keadaannya dilaporkan masih belum stabil.

Mohd Haki memberitahu, punca sebenar kejadian masih dalam siasatan pihak polis.

Katanya, bagaimanpun hasil soal siasat awal bersama ahli keluarga mangsa mendapati kejadian disyaki berpunca daripada kebocoran gas pendingin hawa semasa mekanik terbabit sedang membaiki sebuah kenderaan.

"Pemeriksaan di tempat kejadian juga mendapati tiada kamera litar tertutup (CCTV) dipasang di bengkel tersebut dan tiada saksi yang berada di lokasi semasa kejadian berlaku.

Artikel Berkaitan:

"Sehubungan itu, Pasukan Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK), Unit Pemusnah Bom (UPB) serta pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia telah dimaklumkan dan sedang menjalankan siasatan serta tindakan lanjut bagi mengenalpasti punca sebenar kejadian," katanya.

Beliau menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan dan diminta untuk menyalurkan sebarang maklumat berkaitan kejadian ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

Sinar Harian pada Sabtu melaporkan, seorang mekanik putus kaki kanan selepas pendingin hawa sebuah kereta jenis Perodua Kancil tiba-tiba meletup di sebuah bengkel di Kampung Air Merbo Dalam di sini pada Jumaat.

Mangsa yang berusia 31 tahun itu dipercayai sedang membaiki pendingin hawa kereta tersebut.

 

Ringkasan AI

  • Letupan di bengkel kereta Kampung Air Merbo menyebabkan mekanik putus kaki kanan
  • Mekanik berusia 31 tahun sedang membaiki pendingin hawa kereta
  • Letupan dipercayai akibat kebocoran gas pendingin hawa
  • Mangsa kini dirawat di ICU, keadaan belum stabil
  • Pihak polis dan forensik sedang menyiasat punca sebenar kejadian

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!