Orang ramai cadang aktiviti memancing berkala di Tasik Taman Danau Kota

Ratusan ikan ditemukan mati di Tasik Taman Danau Kota dalam kejadian Isnin lalu.
Ratusan ikan ditemukan mati di Tasik Taman Danau Kota dalam kejadian Isnin lalu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ratusan ikan ditemukan mati di Tasik Taman Danau Kota dalam kejadian Isnin lalu.

Difahamkan situasi sama berlaku setiap tahun sekitar Mac dan April disebabkan perubahan cuaca panas.

Susulan itu orang awam mencadangkan Tasik Taman Danau Kota dibenarkan untuk aktiviti memancing secara berkala bagi mengurangkan pembaziran sumber air itu.

Pengguna media sosial, Bonkai Bonkai memaklumkan larangan memancing dikuat kuasa sejak kawasan lombong itu dinaik taraf menjadi tempat riadah.

"Itulah orang nak mancing tak bagi. Dulu ini tempat aku dengan kawan-kawan mancing dapat ikan bawa balik goreng kunyit.

"Sekarang tak boleh mancing sejak naik taraf tempat orang beriadah bersukan. Kali terakhir mancing kena kejar guard (pengawal keselamatan), sejak tu datang berjoging dan 'healing' dengan kawan-kawan," katanya menerusi komen di Facebook Asal Gombak yang berkongsi hantaran kejadian tersebut pada Jumaat.

Katanya, ikan yang terlalu banyak di samping tiada tumbuhan air turut dipercayai menjadi punca ikan tersebut mati.

Seorang lagi pengguna media sosial, Luqman Al Hakim turut meminta Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) membenarkan orang awam memancing di tasik berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Kerja pembersihan dilakukan Kakitangan DBKL melakukan kerja-kerja pembersihan di Tasik Taman Danau Kota. Foto pembaca
Kerja pembersihan dilakukan Kakitangan DBKL melakukan kerja-kerja pembersihan di Tasik Taman Danau Kota. Foto pembaca

"Bagi orang mancing. Talapia bersepah sampai masa kemarau pun berebut oksigen. Simpan (ikan) banyak-banyak buat apa," katanya.

Bagaimanapun, ada antara pengguna media sosial menyokong larangan memancing ditetapkan DBKL atas faktor keselamatan pengunjung daripada terkena mata kail pemancing.

Selain itu, ada antaranya menyuarakan kebimbangan ikan tersebut mungkin tidak selamat dimakan susulan air tertakung di tasik tersebut kotor kerana datang daripada aliran longkang di taman perumahan berhampiran.

Sementara itu, Ahli Lambaga Penasihat Bandaraya Kuala Lumpur, Andre Lai berkata, beliau akan mengusulkan cadangan kebenaran memancing bagi waktu-waktu tertentu kepada DBKL.

"Program memancing boleh tapi bukan untuk setiap hari kerana takut timbul isu kebersihan tidak dijaga.

"Lokasi ini menjadi port memancing ketika ia masih lagi lombong, namun lepas di naik taraf jadi taman riadah timbul isu sampah menyebabkan DBKL ambil keputusan untuk menghentikan aktiviti ini," katanya.

Beliau turut menjelaskan, kawalan memancing turut dilakukan susulan lokasi itu tidak sesuai untuk aktiviti tersebut kerana boleh mengganggu orang beriadah.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28