Elemen VAK bantu lancarkan pembelajaran

Mohammad Iqbal memilih untuk menggunakan Think Quran bagi mempelajari dan memahami al-Quran kerana kandungannya menyeluruh dari segi pemahaman kosa kata bahasa Arab, tajwid dan latihan.
Mohammad Iqbal memilih untuk menggunakan Think Quran bagi mempelajari dan memahami al-Quran kerana kandungannya menyeluruh dari segi pemahaman kosa kata bahasa Arab, tajwid dan latihan.
A
A
A

SHAH ALAM - Penerapan kaedah yang mudah dan mempercepatkan penggunanya mempelajari bahasa Arab membuatkan Mohammad Iqbal Adam Sharoni, 32, terus menggunakan aplikasi Think Quran.

Usahawan yang juga tenaga pengajar bahasa Arab itu berkata, aplikasi tersebut merupakan suatu anjakan paradigma dalam dunia mempelajari bahasa al-Quran yang dilengkapi elemen VAK iaitu visual, auditori dan kinestetik.

Menurutnya, elemen itu boleh membantu melancarkan kaedah pembelajaran dan sesuai untuk semua golongan atau peringkat usia termasuk kanak-kanak, dewasa dan warga emas.

“Ia juga seiring dengan peredaran zaman yang mana pada masa kini kebanyakan bahan bacaan secara digital.

“Kini semua guna teknologi dan internet serta apa sahaja aplikasi, ada dalam telefon. Jadi, Think Quran adalah salah satu cara terbaharu untuk kita fahami al-Quran dengan lebih dekat dan cepat,” katanya ketika ditemui di pejabat Think Osem Sdn Bhd di sini pada Selasa.

Beliau berkata, sistem yang dibangunkan dalam Think Quran juga disifatkannya terbaik kerana boleh mengesan tahap penguasaan pengguna.

Ujarnya, pengguna akan dapat mengetahui secara terus di mana tahap kekuatan dan kelemahannya, sekali gus boleh membuat latihan untuk mempertingkatkan pembelajaran.

“Lagipun kita dapat belajar menggunakan tiga deria iaitu penglihatan, pendengaran dan pergerakan serta perkara yang sukar akan menjadi mudah. Ketiga-tiga perkara itu ada dalam aplikasi Think Quran.

Artikel Berkaitan:

“Kaedah yang diketengahkan dapat memberi kelebihan kepada pengguna untuk lebih faham dan ingat maksud kosa kata al-Quran,” katanya.

Mohammad Iqbal berkata, beliau pernah menggunakan aplikasi lain untuk mempelajari dan memahami al-Quran dengan baik, namun ia tidak sama dengan Think Quran yang mempunyai kandungan menyeluruh dari segi pemahaman kosa kata bahasa Arab, tajwid dan latihan.

Jelas beliau, orang ramai patut memanfaatkan aplikasi yang disediakan itu kerana ia mudah diakses di mana-mana sahaja dan pada bila-bila masa.

“Ini pengalaman yang sukar diungkapkan tetapi hanya dapat dirasai mereka yang mengalaminya sendiri.

“Kita perlu bermula dengan diri sendiri untuk berubah kemudian menyebarkannya kepada yang lain. Semoga lebih ramai umat dapat memahami maksud al-Quran,” kata beliau.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28