Pahang sediakan tanah bangunkan industri keterjaminan makanan

Wan Rosdy menyampaikan dividen Ladang Usahasama kepada peserta.
Wan Rosdy menyampaikan dividen Ladang Usahasama kepada peserta.
A
A
A

KUANTAN - Kerajaan Pahang bersedia untuk menyediakan tanah kepada agensi yang berpotensi dalam usaha memperluaskan industri keterjaminan makanan di negeri ini.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, susulan itu, Kerajaan Pahang lebih cenderung untuk bekerjasama dengan agensi berbanding individu bagi membangunkan tanah kerana ia terbukti lebih berjaya.

Beliau memberi contoh dengan merujuk kepada Pertubuhan Peladang Negeri Pahang (PASFA) yang terbukti berjaya mengusahakan tanaman getah dan kelapa sawit di negeri ini.

“Maknanya, kalau kita ada tanah, kita akan bagi pada agensi seperti PASFA, (kerana mereka) boleh mengusahakan tanah tersebut.

“Kita tidak mahu bukan agensi, sebab kalau bagi individu dan dia tidak usahakan, ia rugi. Macam PASFA ia akan usahakan, kalau tanam sawit boleh eksport sawit atau getah atau tanaman (lain),” katanya.

Wan Rosdy berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Penyerahan Dividen Ladang Usahasama Integrasi Lembu dan Sawit PPRT Bukit Gayong kepada peserta E-Kasih, di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, di sini pada pada Jumaat.

Pada majlis itu, seramai 336 peserta Program Pembangunan Rakyat Termiskin (PPRT), masing-masing menerima RM5,306 setiap peserta dengan membabitkan jumlah keseluruhan bayaran berjumlah RM1.78 juta bagi pembayaran berakhir tahun 2022.

Hadir sama, Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah Pertubuhan Peladang Negeri Pahang (PASFA), Datuk Zamri Yaakob.

Artikel Berkaitan:

Wan Rosdy menjelaskan tanah yang diberikan Kerajaan Pahang perlu diusahakan sebaik mungkin.

Tambah beliau, ini bagi memberi pulangan hasil semula kepada Kerajaan Pahang.

Oleh itu, menurut beliau, pemilihan agensi yang sesuai dan berkemampuan adalah penting bagi mereka menerokai sumber tanah kerajaan yang terhad untuk diusahakan sehabis baik.

“Ada tanah tidak diusahakan, tapi, PASFA ‘deliver' jadi, kita tidak ragu-ragu memberikan kepada mereka (tanah) dan manfaat balik diperolehi semula oleh Kerajaan Pahang.

“Kena pelbagaikan pertanian 'Dont put it in one basket' bila pecah satu pecah habis,” katanya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28