Parkir kafe Tanah Aina ditutup, tanah milik kerajaan Pahang

Laporan Sinar Harian. Razali
Laporan Sinar Harian. Razali
A
A
A

KUANTAN – Kerajaan Pahang mengambil tindakan tegas menutup kawasan parkir yang digunakan Kafe Tanah Aina Fareena di Bentong kerana ia termasuk dalam hak milik kerajaan.

Exco Kerja Raya, Pengangkutan, Kesihatan dan Kerajaan Tempatan Pahang, Ir Razali Kassim berkata, tindakan itu diambil kerana tidak mahu ada pihak mengambil kesempatan menyalahgunakan tanah kerajaan.

Menurutnya, meskipun sudah enam tahun pencerobohan tanah itu dilaporkan, kerajaan lewat mengambil tindakan kerana berdepan dengan beberapa kekangan seperti kekurangan kakitangan.

“Keputusan menutup laluan masuk ke kafe tersebut adalah berdasarkan keputusan kerajaan negeri (Pahang) disebabkan penyalahgunaan tanah kerajaan untuk operasi perniagaan ataupun parkir," katanya pada Rabu.

Beliau berkata kerajaan Pahang telah mengambil tindakan secara berterusan, namun semua perkara tidak boleh dilakukan dalam tempoh masa satu hari.

“Kita terpaksa buat secara berperingkat sebab banyak. Kita pun ada kekangan petugas dan kita tahu Pahang ini luas,” katanya.

Mengulas lanjut, Razali berkata, setiap tindakan penguatkuasaan dilakukan adalah melalui perintah mahkamah.

“Justeru saya mengambil kesempatan ini untuk meminta orang ramai agar mengelakkan daripada menceroboh tanah kerajaan tanpa ada sebarang kelulusan dan kita akan ambil tindakan di bawah Seksyen 425 Kanun Tanah Negara,” jelasnya.

Artikel Berkaitan:

Pencerobohan tanah kerajaan adalah di bawah Seksyen 425 Kanun Tanah Negara dan jika disabitkan, dikenakan denda yang tidak melebihi RM10,000 atau dipenjarakan untuk suatu tempoh yang tidak melebihi satu tahun manakala hukuman setimpal turut dijatuhkan kepada mereka yang bersubahat.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!